UNICEF rayu dana RM10.17 bilion - Utusan Malaysia

UNICEF rayu dana RM10.17 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) merayu dana sebanyak AS$2.5 bilion (RM10.17 bilion) bagi membantu 39 juta kanak-kanak terjejas akibat peperangan, kemiskinan dan pandemik Covid-19 di Asia Barat dan Afrika Utara.

Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Ted Chaiban berkata, dua negara itu merekodkan jumlah tertinggi kanak-kanak yang memerlukan bantuan di dunia ini.

“Ia sebahagian besar disebabkan krisis angkara manusia termasuk konflik bersenjata, kemiskinan dan kemerosotan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, rayuan itu bagi membolehkan bantuan kemanusiaan yang penting disalurkan kepada kanak-kanak selain terus menampung keperluan golongan itu akibat pandemik Covid-19.

Jelas UNICEF dalam satu kenyataan, kanak-kanak merupakan golongan yang memerlukan di kawasan peperangan Yaman, wilayah Syria dan di Sudan.

Menurut kenyataan itu, di Yaman, seramai 12 juta kanak-kanak atau hampir semua kanak-kanak memerlukan bantuan selepas lima tahun konflik berlaku.

Di Syria, seramai 4.8 juta kanak-kanak memerlukan bantuan selepas peperangan saudara telah mengorbankan lebih 380,000 orang, dan memindahkan jutaan penduduk serta melumpuhkan ekonomi negara.

Dilaporkan, 2.5 juta lagi orang hidup sebagai pelarian di negara-negara jiran selepas ibu bapa mereka melarikan diri daripada konflik hampir 10 tahun itu.

Sebanyak 5.3 juta kanak-kanak di Sudan memerlukan bantuan akibat bencana banjir besar, krisis ekonomi dan peralihan kuasa politik secara meluas daripada pemerintahan autokratik ke arah demokrasi.

Di Lebanon, sebanyak 1.9 juta kanak-kanak kini bergantung pada bantuan kerana ekonomi merosot berikutan kejadian letupan besar di Beirut yang mengorbankan lebih 200 penduduk dan memusnahkan hampir sebahagian besar ibu kota negara itu pada Ogos lalu.

Tambah kenyataan itu, sebahagian besar dana yang diminta akan digunakan bagi menyokong pendidikan kanak-kanak manakala yang lain untuk tujuan kebajikan seperti akses air, sanitasi, penjagaan kesihatan dan nutrisi serta sokongan kesihatan mental. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.