Gaza kekurangan alat ujian Covid-19 - Utusan Malaysia

Gaza kekurangan alat ujian Covid-19

SEORANG wanita Palestin dan anaknya menunggu giliran untuk masuk ke Mesir menerusi lintasan Rafah bagi mendapatkan rawatan perubatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Petugas kesihatan tidak dapat menjalankan saringan Covid-19 di Semenanjung Gaza kerana mengalami kekurangan bekalan alat ujian diagnostik virus itu, di tengah peningkatan kes jangkitan itu di wilayah Palestin yang dijajah.

Justeru, Kementerian Kesihatan menggesa tindakan segera diambil untuk menyediakan peralatan yang diperlukan bagi membolehkan ujian saringan Covid-19 terhadap penduduk diteruskan.

“Satu-satunya makmal di wilayah itu yang dapat mengkaji sampel ujian Covid-19 terpaksa menghentikan kerjanya kerana kekurangan peralatan,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pengarah makmal tersebut, Ameed Mushtaha berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang alat ujian sejak empat hari lalu.

Menurut beliau, kementerian kesihatan telah meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk segera menghantar bekalan perubatan ke Gaza.

Namun, dilaporkan PA juga mengalami kekurangan alat ujian Covid-19 dan turut meminta bantuan WHO untuk membekalkan lebih banyak peralatan berkenaan.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa sistem kesihatan di Semenanjung Gaza boleh `musnah’ sekiranya jumlah kes Covid-19 terus meningkat.

PA bakal menerima vaksin Covid-19 daripada COVAX iaitu sebuah pelan peruntukan vaksin Covid-19 global yang dipimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Gaza juga akan mendapat bahagian vaksin mereka namun butiran lanjut mengenainya belum diketahui.

Dalam pada itu, pegawai kanan Hamas dan bekas menteri kesihatan, Bassem Naim berkata, pihak berkuasa biasanya menjalankan kira-kira 2,500 hingga 3,000 ujian saringan sehari yang menelan perbelanjaan antara AS$75,000 (RM305,455) dan AS$100,000 (RM407,273).

“Terdapat keperluan mendesak untuk menyelamatkan nyawa penduduk Gaza dan memerangi krisis tersebut,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya