fbpx

Bas terjunam dari jejambat, 16 maut di Brazil

ANGGOTA keselamatan Brazil memeriksa bas yang remuk akibat kemalangan yang berlaku berhampiran bandar Joao Monlevade di tenggara Minas Gerais. - AFP

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh di Brazil selepas sebuah bas dilaporkan terjunam dari jejambat pada ketinggian 20 meter setelah brek gagal berfungsi lalu merempuh landasan kereta api. 

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 27 orang lagi cedera dalam insiden kemalangan yang berlaku berhampiran bandar Joao Monlevade di tenggara Minas Gerais.

Beberapa gambar yang dikeluarkan oleh anggota bomba menunjukkan keadaan bas yang hancur di kaki jejambat berkenaan.

Jelas pihak berkuasa, pemandu bas itu hilang kawalan selepas didakwa kegagalan brek berfungsi.  

Menurut jabatan bomba, sebanyak enam penumpang termasuk pemandunya sempat melompat keluar daripada bas sebelum ia terjunam di landasan kereta api.

Pada 25 November lalu, seramai 41 orang maut apabila sebuah trak dan bas bertembung berhampiran bandar Taguai di Sao Paulo.

Pegawai pengangkutan memberitahu hampir 30,000 orang mati setiap tahun dalam kemalangan jalan raya di Brazil antara 2015 dan 2019. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN