'You’re fired' makan tuan - Utusan Malaysia

‘You’re fired’ makan tuan

DONALD Trump gagal mempertahankan kedudukan sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh ADLINAHANI KHALIL

[email protected]

WASHINGTON: Ungkapan you’re fired yang sering keluar dari mulut Donald Trump ketika berucap memperlekehkan pihak lawan akhirnya memakan diri apabila impian beliau untuk terus bergelar Presiden Amerika Syarikat tidak kesampaian.

Impian beliau hancur selepas Joe Biden yang didakwanya ‘nyanyuk dan tidak berupaya’ berjaya memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2020, sekali gus bakal menjadi presiden ke-46 negara ini.

Trump hanya memperoleh sebanyak 214 undian elektoral, selain gagal mempertahankan kedudukan di negeri yang didakwanya ‘memberi sokongan penuh’ iaitu di Pennsylvania dan Michigan.

Kekalahan itu bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada Trump, malah dilihat memalukan apabila beliau menjadi antara Presiden AS yang gagal dipilih semula dalam pilihan raya.

Sikap Trump yang disifatkan terlalu angkuh dan suka ‘cakap besar’ antara faktor kepada kekalahan beliau.

Sepanjang empat tahun pentadbirannya, Trump disifatkan Presiden AS paling banyak ‘menghancurkan sejarah negara ini’ sehingga dikhuatiri menggugat kepercayaan dunia terhadap kepemimpinan antarabangsa yang dipromosikan AS selama ini.

Situasi itu pula secara tidak langsung boleh menyebabkan ‘kerosakan’ terhadap demokratik global dan mungkin mengambil masa selama puluhan tahun bagi memulihkan keadaan.

Trump juga dilihat terlalu lantang sehingga menormalisasi semua perkara yang tidak pernah dibuat oleh barisan pemimpin AS sebelum ini.

Antaranya termasuk mempersoalkan pegangan demokrasi di negara ini dan mengagungkan kepemimpinan autokrasi yang secara jelas menjatuhkan air muka AS di muka dunia.

Antara contoh paling jelas, Trump menyifatkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sebagai ‘pemimpin sebenar’ dan hubungan mereka baik berbanding barisan pemimpin dunia yang lain.

Korea Utara mungkin boleh dijadikan contoh negara yang mengamalkan kepemimpinan diktator paling teruk di dunia dengan rakyatnya dilayan seperti binatang.

Selain itu, beliau juga pernah mengucapkan tahniah kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin atas kemenangan pilihan raya di negara itu yang disifatkan oleh pemantau antarabangsa sebagai tidak telus dan adil secara terang-terangan.

Sikap Trump itu secara tidak langsung memberi ruang kepada sistem politik yang tidak adil dan menindas rakyat demi menjaga kepentingan sendiri.

Tindakan Trump yang ‘gemar menarik diri’ daripada institusi antarabangsa juga menimbulkan persoalan pelbagai pihak.

Pemimpin berusia 74 tahun itu membuat keputusan paling tidak berasas apabila menarik diri dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia dan AS antara negara paling teruk terancam.

Trump turut mengeluarkan AS daripada Perjanjian Iklim Paris yang boleh menyebabkan banyak negara tidak mengendahkan usaha menjaga alam sekitar untuk mengurangkan perubahan iklim.

Sementara itu, Trump sehingga kini menolak kekalahan beliau dengan menyatakan berlaku penipuan dalam pengiraan undi, sekali gus tidak mengiktiraf kemenangan Biden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN