PARIS: Syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan firma bioteknologi Jerman, BioNTech mendakwa vaksin Covid-19 yang dihasilkan mereka menerusi jalinan kerjasama berkesan sebanyak 90 peratus untuk menangani jangkitan virus tersebut.
Kedua-dua syarikat berkenaan mengumumkan berita tersebut ketika pandemik Covid-19 di seluruh dunia terus memuncak, menyaksikan jutaan nyawa terkorban dan ekonomi merudum.
Presiden AS, Donald Trump yang sebelum ini dikritik hebat kerana kegagalan beliau menguruskan krisis tersebut dengan baik turut menyifatkan pengumuman tersebut sebagai ‘satu berita baik’, manakala pegawai tinggi penyakit berjangkit AS, Anthony Fauci menyatakan keputusan berkenaan adalah ‘luar biasa’.
Berdasarkan data awal, pesakit yang terdiri dari pelbagai etnik boleh mencapai tahap perlindungan Covid-19 dalam tempoh tujuh hari selepas diberi dua dos suntikan vaksin tersebut dan selama 28 hari dari tempoh suntikan pertama.
Kedua-dua syarikat berkenaan jangka untuk membekalkan sehingga 50 juta dos vaksin di seluruh dunia pada tahun ini dan merancang meningkatkan jumlah sehingga 1.3 juta dos menjelang 2021.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla memaklumkan kejayaan itu menerusi satu kenyataan akhbar.
“Kami semakin hampir untuk menyelamatkan populasi dunia daripada penularan wabak Covid-19,” katanya.
Vaksin yang diberi nama BNT162b2 itu kini dalam fasa akhir iaitu peringkat ketiga sebelum diluluskan untuk kegunaan awam. Setakat ini, seramai 43,538 responden sudah diberi suntikan pertama dan 90 peratus menerima suntikan dos kedua sehingga 8 November ini.
Rusia dakwa Sputnik V juga berkesan
Dalam pada itu, Rusia mendakwa vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh negara itu yang diberi nama Sputnik V juga berkesan lebih 90 peratus untuk mencegah virus maut berkenaan.
Pengarah institut kajian di bawah Kementerian Kesihatan Rusia, Oksana Drapkina berkata, berdasarkan pemantauan teliti, Sputnik V dilihat efektif untuk menangani penularan jangkitan Covid-19.
Pengumuman itu dibuat berdasarkan pengumpulan data vaksinasi awam dan bukannya menerusi fasa ujian.
WHO sambut baik vaksin Pfizer
Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memuji langkah Pfizer dan menyifatkan pengumuman kejayaan itu sebagai ‘menggalakkan’.
Beliau sebelum ini memberi amaran bahawa dunia berkemungkinan ‘penat memerangi Covid-19’ selepas pandemik itu dilihat seperti tidak akan reda dalam masa terdekat, selain jumlah jangkitan di seluruh dunia terus meningkat dari semasa ke semasa.
EU tempah 300 juta dos vaksin
Kesatuan Eropah (EU) bakal menandatangani kontrak dengan Pfizer dan BioNTech untuk menempah kira-kira 300 juta dos vaksin Covid-19 yang dihasilkan kedua-dua firma tersebut.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua syarikat tersebut atas kejayaan yang dicapai.
Namun, Agensi Perubatan Eropah (EMA) masih belum menerima kelulusan daripada Pfizer berhubung vaksin berkenaan.
Brazil henti ujian vaksin China
Pihak berkuasa kesihatan Brazil, Anvisa menghentikan sementara ujian klinikal vaksin yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech selepas berlaku ‘insiden tidak diingini’ kepada seorang daripada responden.
Menerusi satu kenyataan, Anvisa memaklumkan seorang daripada responden mengalami komplikasi serius selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 yang diberi nama CoronaVac pada 20 Oktober lalu.
Namun, Anvisa tidak dapat memberikan maklumat lanjut berhubung insiden tersebut atas faktor perundangan. – AFP/AGENSI










