WASHINGTON: Faith Sees Best in The Dark. Itu pegangan Joe Biden, 77, yang menjadikan beliau sebagai seorang pemimpin berwibawa yang tidak kenal erti putus asa dalam kehidupan.
Siapa sangka tiga dekad lalu, kehidupan sosok pemimpin Parti Demokrat itu diuji hebat apabila kehilangan isteri, Neilia Hunter dan anak perempuan mereka, Amy berusia 13 bulan sekelip mata dalam tragedi kemalangan yang disebabkan sebuah trak melanggar kereta mereka sekeluarga.
Dua lagi anak Biden iaitu Beau dan Robert Hunter terselamat dengan kedua-duanya mengalami kecederaan patah kaki serta patah tulang tengkorak.
Tragedi itu berlaku selepas sebulan Biden dilantik sebagai Senator kelima termuda dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) pada 1972 malah majlis angkat sumpah terpaksa diadakan di hospital kerana Biden mahu memantau perkembangan kesihatan anaknya.
Anak sulung daripada empat beradik itu ternyata merupakan seorang bapa bertanggugjawab kerana beliau sanggup berulang alik dari Washington menaiki tren selama empat jam kerana tidak mahu berjauhan dengan anak-anaknya.
Biden mahu melihat dua anak lelakinya membesar di depan mata dengan meluangkan masa bersama mereka kerana dalam siri ucapannya kerap mengingatkan ‘keluarga adalah permulaan, pertengahan dan penghujung kehidupan’.
Kehidupan penuntut Ijazah Undang-Undang dari Universiti Syracuse sekali lagi diuji apabila anaknya, Beau, disahkan mati akibat kanser otak semasa berusia 46 tahun.
Anak kepada jurujual kereta yang dibesarkan di Bandar Scranton, Pennsylvania sejak 1942 itu sentiasa merasakan mendiang isteri, anak perempuan serta anak lelakinya berada disisinya.
Selepas menamatkan pengajian undang-undangnya, Biden kembali ke Wilmington dan bekerja sebagai peguam selama empat tahun di sana sebelum menceburi arena politik.
Biden pernah memenangi pilihan raya semula 1978 dan lima kali selepas itu.
Beliau berusaha menjaga suasana persekitaran di Delaware, menggubal undang-undang menentang keganasan rumah tangga dan membuat rang undang-undang anti jenayah yang memperuntukkan 100,000 lagi anggota polis di jalanan, melarang penggunaan senjata serta mengenakan hukuman lebih keras terhadap pengedar dadah.
Biden menjadi Naib Presiden AS selepas 36 tahun bergelar senator di Delaware termasuk lapan tahun sebagai Ketua Jawatankuasa Kehakiman.
Semasa Pilihan Raya Presiden AS 2008, Barack Obama memilih beliau sebagai gandingannya menerajui White House.
Selama dua penggal menjadi naib presiden, beliau diberi tanggungjawab dan fokus terhadap ekonomi serta dasar luar negara.
Biden bukanlah seorang pemimpin yang mewarisi kekayaan tujuh keturunan seperti Trump, namun begitu, beliau sememangnya beliau layak diangkat sebagai Presiden AS yang mewakili semua identiti bangsa di negara Uncle Sam itu sekalipun memecah rekod sebagai Presiden AS tertua sekiranya dilantik.
Pada Jun 1977, Biden sekali lagi berkahwin dengan seorang wanita bernama Jill Jacobs dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ashley Biden.










