WASHINGTON: ‘Hari ini adalah hari baharu untuk Amerika’
Itu adalah ungkapan pertama yang diucapkan oleh calon Parti Demokrat, Joe Biden selepas memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020, mengalahkan pencabarnya, Donald Trump yang mewakili Parti Republikan.
Menerusi ucapan kemenangannya, Biden berikrar untuk menyatukan semula penduduk di negara ini dalam semua aspek termasuk sektor ekonomi, politik dan sosial yang didakwa goyah di bawah pentadbiran Trump.
Beliau juga berjanji untuk tidak memecah-belahkan perpaduan apabila menyifatkan semua penyokong Trump adalah rakyat AS dan bukan musuh Demokrat.
“Marilah kita beri peluang kepada antara satu sama lain dengan saling bertolak ansur dan hormat menghormati.
“Kita juga harus tamatkan ‘era kegelapan’ ini dengan serta merta hari ini,” kata Biden sambil menerima sorakan dan tepukan gemuruh daripada para penyokongnya.
Dengan nada suara tenang dan bersahaja, Biden turut menegaskan beliau akan berusaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan AS di pentas dunia, termasuk dihormati oleh semua negara.
“Malam ini, satu dunia melihat AS dan saya percaya negara ini masih mampu menjadi pelopor global,” ujarnya.
Bercakap soal penularan Covid-19 yang sudah meragut lebih 237,000 nyawa di seluruh AS, Biden dengan pantas memaklumkan beliau akan membentuk satu pasukan khas yang disertai barisan saintis terkemuka untuk menangani isu tersebut.
Katanya, pasukan itu akan dibentuk hari ini dan berkuat kuasa serta merta.
Kemenangan disambut meriah
Walaupun jumlah penyokong dihadkan, kemenangan Biden dan gandingannya, Kamala Harris tetap disambut dengan meriah, menyaksikan para penyokong mengibarkan bendera Demokrat dan kebangsaan.
Apa yang lebih istimewa, penyokong Biden hanya duduk di dalam kenderaan sebagai mematuhi protokol kesihatan susulan pandemik Covid-19.
Konsep ‘drive-in’ atau pandu masuk itu sudah lama digunakan Biden sejak mula berkempen bagi menunjukkan beliau sangat komited dalam mematuhi protokol Covid-19.
Selain itu, kemunculan Biden di atas pentas sebelum memberi ucapan disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh oleh penyokongnya.
Biden yang bakal mencecah 78 tahun ini bakal menjadi presiden tertua AS apabila beliau mengangkat sumpah pada 20 Januari depan.
Kamala Harris cipta sejarah
Harris yang dipilih untuk bergandingan dengan Biden turut tidak ketinggalan menerima sokongan kuat daripada penyokong Demokrat.
Dalam ucapannya, Harris memuji rakyat negara ini yang menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya dan menyatakan mereka membuat pilihan yang bijak apabila memilih Biden menerajui AS.
Harris mencipta sejarah apabila menjadi wanita kulit hitam pertama menjadi Naib Presiden AS.
Wanita itu juga menjadi individu pertama keturunan Asia Selatan yang terpilih memegang jawatan tersebut.
Sambutan spontan
Sementara itu di Philadelphia, Los Angeles, Washington dan beberapa bandar utama lain, para penyokong Demokrat secara spontan meraikan kejayaan yang diraih Biden.
Ribuan orang berhimpun di Plaza Black Lives Matter yang terletak bersebelahan dengan White House.
Seorang penyokong Biden, Jack Nugent, 24, memberitahu sudah lama dia menunggu saat ini.
“Saya amat gembira Biden menang dan saat ini sudah lama ditunggu, malah saya yakin hampir semua rakyat AS menunggu hari baharu Amerika,” katanya.
Situasi sama dapat dilihat di New York yang merupakan tempat kelahiran Trump.
Namun di Arizona, kira-kira 1,000 penyokong Trump mengadakan demonstrasi membantah keputusan pilihan raya dan mendakwa berlaku penipuan dalam pengiraan undi. – AFP/AGENSI










