Pendidik sejati…demikian perkataan cukup sesuai untuk menggambarkan Dr. Jill Biden yang berpotensi menjadi `First Lady’ atau wanita pertama Amerika Syarikat (AS) sekiranya Joe Biden memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2020.
Isteri kepada bekas naib presiden AS dan calon dari Parti Demokrat itu dikatakan seorang individu yang memiliki jiwa pendidik sepanjang masa.
Malah, statusnya sebagai penyandang wanita kedua AS juga tidak pernah menjadi batu penghalang kepadanya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat dalam bidang pendidikan.
Jill Biden atau Jill Tracy Jacobs dilahirkan pada 3 Jun 1951 di Hammonton, New Jersey dan membesar di Willo Grove, Pennsylvania bersama bapanya, Donald Jacobs seorang juruwang bank, ibu, Bonny Jacobs, suri rumah serta dengan empat adik-beradiknya.
Wanita berusia 69 tahun itu memiliki Ijazah Sarjana Muda dari University Delaware serta dua Sarjana dalam bidang pendidikan di West Chester University dan di University Villanova.
Beliau juga memperoleh ijazah doktor falsafah dari University of Delware pada Januari 2007.
Jadi, jika Biden terpilih, Jill bakal menjadi isteri presiden AS pertama yang mempunyai gelaran doktor.
Jill pernah mengajar subjek Bahasa Inggeris di sebuah sekolah awam selama 13 tahun selain menjadi profesor di Delaware Technical and Community College antara tahun 1993 hingga 2008.
Sejak tahun 2009, beliau menjadi profesor bahasa Inggeris di Northern Virginia Community College.
Jill juga dipercayai merupakan wanita kedua AS yang pertama mempunyai pekerjaan profesional iaitu masih mengajar di kolej tersebut sepanjang Biden menjawat jawatan Naib Presiden AS pada 2009-2017.
Komitmen beliau terhadap pelajarnya turut dipuji oleh Michelle Obama yang mengambarkan Jill sebagai guru yang amat berdedikasi dan sentiasa meletakkan perkembangan mereka dan pelajaran yang paling utama.
Sepanjang berkhidmat sebagai wanita kedua AS, Jill aktif dalam membawa pelbagai insiatif dan kempen termasuk program kesedaran kepentingan kolej komuniti dan projek menyokong keluarga anggota tentera bersama Michelle Obama.
Jill bertemu dengan Biden pada 1975 menerusi `blind date’ yang diaturkan oleh abang Biden, Frank dan setelah dua tahun berkenalan, pasangan itu akhirnya berkahwin.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ashley Biden yang dilahirkan pada 1981.
Biden juga mempunyai dua anak lelaki, Beau dan Robert Hunter menerusi hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas isterinya, Neilia Hunter yang meninggal dunia akibat kemalangan.
Jill sering digambarkan sebagai tulang belakang dan salah satu penasihat politiknya yang amat dipercayai oleh Biden.
Jill juga mendorong suaminya untuk mencalonkan diri sebagai presiden sekali lagi selain lebih aktif membantu dalam kempen pilihan raya AS,
Meskipun Biden berjaya ke White House, Jill memutuskan akan tetap meneruskan kariernya dalam bidang pendidikan.
Penulis buku berjudul `First Ladies’, Betty Boyd Caroli juga pernah menulis mengenai Jill.
“Saya harap beliau akan lebih aktif dalam menganjurkan pembaharuan khusus pada sistem pendidikan.
“Ramai orang yang mahu wanita pertama mereka tidak banyak bercakap dan hanya dilihat mengenakan pakaian terbaik. Namun tidak bagi Jill. Saya rasa ini merupakan platform yang amat berpengaruh,” katanya.
Aura dan karisma Jill terserlah dengan keyakinan dan kepastian yang ditunjukkan dalam setiap tindakannya sehingga mampu menambat hati rakyat AS.










