WASHINGTON: Rakyat Amerika Syarikat (AS) sudah menunaikan tanggungjawab dengan memilih Joe Biden sebagai Presiden AS ke-46.
Ketika berkempen, Biden mengemukakan sejumlah usul yang dirancang untuk memulihkan semula situasi di AS yang ketika ini disifatkan ‘semakin parah’.
Antaranya adalah:
Menangani Covid-19
Biden mengambil serius isu tersebut malah dilihat lebih komited untuk mencegah penularan wabak berbanding Donald Trump yang hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Dalam ucapan kemenangannya, Biden memaklumkan beliau akan mendedahkan pasukan khas yang terdiri daripada 12 saintis hari ini.
Pasukan khas itu bertujuan membantu AS menghadapi ancaman Covid-19 dan beliau juga berjanjin untuk melaksanakan ujian saringan Covid-19 serta program pengesanan di seluruh negara.
Perubahan iklim
Ketika Trump membuat keputusan untuk keluar daripada Perjanjian Iklim Paris, Biden pula mempunyai pandangan yang berbeza.
Beliau memberi jaminan untuk menyertai semula perjanjian tersebut dan menyasarkan AS dapat mencapai sifar pengeluaran karbon menjelang 2050.
Biden memaklumkan kerajaannya sanggup melabur sehingga AS$2 trilion (RM8.3 trilion) untuk memperkasakan tenaga hijau.
Mantapkan ekonomi
Dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat serta banyak perniagaan merudum susulan Covid-19, ekonomi AS menjadi antara tumpuan utama penduduk negara ini.
Trump berkempen untuk mewujudkan 10 juta peluang pekerjaan, manakala Biden merancang untuk meningkatkan kadar cukai kepada golongan berpendapatan tinggi.
Penjagaan kesihatan
Biden berjanji untuk mewujudkan program kesihatan yang menyeluruh dan berpatutan kepada rakyat negara ini, termasuk warga emas.
Beliau turut menegaskan untuk melindungi serta mengembangkan program kesihatan Obamacare yang dibatalkan oleh Trump.
Polisi luar
Biden berjanji untuk memperbaiki hubungan dengan sekutu AS.
Beliau juga merancang untuk menjernihkan semula hubungan dengan China termasuk isu mengenai kadar tarif dan perubahan iklim.
Ketidaksamarataan dan ketegangan
Pemimpin berusia 77 tahun itu memberi jaminan untuk memulihkan semula hubungan tegang antara penduduk kulit putih dan hitam.
Biden merancang untuk mengurangkan jurang kekayaan penduduk dengan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada pengusaha kulit hitam dan mereka yang berpendapatan rendah. – AFP/AGENSI










