Hartawan murah hati beri 'hadiah' RM114.7j kepada pekerja - Utusan Malaysia

Hartawan murah hati beri ‘hadiah’ RM114.7j kepada pekerja

MATT MOULDING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang ahli perniagaan bilionair dari Britain yang pernah menjadikan pekerjanya kaya raya, berjaya menjana keuntungan sebanyak 830 juta pound (RM4.54 bilion) selepas syarikatnya disenaraikan di pasaran saham pada September lalu.

Lapor Mirror, Pengasas The Hut Group, Matt Moulding meraih jumlah itu yang dianggap sebagai dividen terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah negara itu, selepas harga saham syarikat e-dagang miliknya meningkat secara mendadak.  

Moulding, 48, yang menubuhkan The Hut Group bersama John Gallemore pada 2004, berjaya menjana kekayaan yang besar sepanjang tempoh tersebut. 

Malah, Moulding juga memastikan beliau menyokong mana-mana individu termasuk pekerjanya yang menjadi punca di sebalik kejayaan perniagaannya.

Tahun lalu, kakitangan The Hut Group yang berpusat di Manchester berkongsi jumlah kutipan saham sebanyak 21 juta pound (RM114.67 juta) dalam kalangan mereka.

Menurut Moulding, beberapa pekerjanya menjadi jutawan hasil daripada skim pembelian balik saham syarikat yang terbuka kepada kakitangannya.  

“Di bawah skim ini, tiada seorang pun yang menerima kurang daripada beberapa ratus ribu,” katanya. 

Antara kakitangannya termasuk pemandu lapangan terbang dan pembantu peribadi Moulding sendiri yang meraih sejumlah besar wang daripada saham tersebut sehingga membolehkannya bersara pada usia 36 tahun. 

Dalam pada itu, seorang jurucakap The Hut Group berkata, semua pemegang saham syarikat juga mendapat manfaat hasil daripada prestasi perniagaan yang semakin kukuh. 

“Skim ekuiti dilaksanakan ketika The Hut Group menjadi syarikat swasta dan kami gembira kerana lebih 200 kakitangan telah berkongsi skim tersebut yang bernilai sekitar 200 juta pound (RM1.1 bilion) hari ini,” katanya

Sementara itu, Moulding berjanji untuk menyumbang seluruh gaji tahunannya yang berjumlah 750,000 pound (RM4.09 juta) kepada badan amal dan kebajikan.

Ahli perniagaan bilionair itu juga menyumbang sebanyak 10 juta pound (RM54.6 juta) kekayaannya bagi menyokong usaha-usaha bantuan Covid-19 ketika pandemik koronavirus. 

   Selain itu, beliau juga telah menyumbang peralatan perlindungan diri (PPE) yang berjumlah dua juta pound (RM10.92 juta) kepada para petugas barisan hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya