GUATEMALA: Sejumlah penduduk dilaporkan maut akibat Taufan Eta yang melanda Amerika Tengah termasuk lebih 50 orang di Guatemala susulan insiden tanah runtuh.
Taufan tersebut membadai perairan Caribbean di utara Nicaragua pada Selasa lalu, sekali gus menyebabkan kemusnahan besar melibatkan kawasan kediaman dan infrastruktur utama.
Dua hari kemudian, kekuatan Eta menurun menjadi ribut tropika namun pakar cuaca meramalkan taufan itu boleh bertukar semula kepada taufan ketika dalam perjalanan ke Cuba.
Ribu yang dibawa oleh taufan tersebut mencetuskan hujan lebat dan banjir di Nicaragua, Honduras, Guatema, Costa Rica, El Salvador dan Panama.
Dalam pada itu, lebih 50 orang terkorban di Guatemala dalam beberapa insiden tanah runtuh, menurut presidennya, Alejandro Giammattei.
“Ketika ini, jumlah korban sudah meningkat lebih 50 orang dan angka itu dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Jelas beliau, satu daripada insiden tanah runtuh menyebabkan 25 buah rumah tertimbus di kawasan pedalaman di utara negara ini.
Katanya, pasukan keselamatan sukar untuk masuk ke kawasan tersebut kerana banyak jalan utama terputus hubungan susulan banjir.
Sementara itu, kira-kira 10 orang maut dalam satu lagi kejadian tanah runtuh di barat laut Guatemala. – AFP










