Hagia Sophia: Ahlan wa sahlan jemaah Jumaat - Utusan Malaysia

Hagia Sophia: Ahlan wa sahlan jemaah Jumaat

HAGIA Sophia diubah menjadi muzium oleh Mustafa Kemal Ataturk pada 1935. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Hari ini, Hagia Sophia akan menjadi tumpuan dunia apabila dibuka secara rasmi buat pertama kalinya untuk umat Islam mengerjakan solat selepas 86 tahun ‘ditutup’ ekoran ditukar statusnya kepada muzium oleh presiden pertama Turki, Mustafa Kemal Ataturk.

Hurriyet Daily melaporkan, solat Jumaat pertama akan diadakan di Hagia Sophia dengan pemerintah Turki mengundang pemimpin asing menghadiri pembukaan tersebut.

Kira-kira 1,000 ke 1,500 jemaah bakal menunaikan solat Jumaat dengan khutbah dibacakan Ketua Pengarah Hal Ehwal Agama (Diyanet), Ali Erbas.

Pihak berkuasa menetapkan beberapa langkah atau prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Co­vid-19 termasuk mewajibkan pemakaian pelitup hidung dan mulut manakala sejadah disediakan oleh pihak masjid.

Selain Presiden Recep Tay­yip Erdogan, pemimpin parti pembangkang, Parti Nasionalis Turki (MHP), Devlet Bahceli selain anggota kerajaan daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dijangka menunaikan solat Jumaat.

Pemimpin-pemimpin daripada pelbagai negara juga diundang ke Hagia Sophia de­ngan ketua-ketua negara dari Azerbaijan serta Qatar mengesahkan kehadiran.

Pada 19 Julai lalu, Erdogan menziarahi Hagia Sophia bagi meninjau persiapan pembukaan ‘muzium’ itu kepada masjid.

Dalam lawatan itu, beliau membuat penilaian mengenai kerja-kerja menukar status Hagia Sophia kepada masjid sebelum umat Islam dibenarkan mengerjakan solat di dalamnya.

Menurut pihak berkuasa, beberapa elemen gereja pada dinding akan ditutup dengan tirai ketika waktu solat.

Mekanisme tirai yang dipasang menyamai SOP industri iaitu tidak menggunakan paku bagi menjaga elemen sejarah.

Permaidani yang akan digunakan di Hagia Sophia pula dihasilkan di kilang dekat wilayah barat Manisa.

Permaidani itu membawa motif era abad ke-17 empayar Uthmaniah.

Ketika Empayar Rom Timur pada kurun keenam, Hagia Sophia dibina sebagai gereja dan kemudiannya ditukar menjadi masjid selepas penaklukan Empayar Uthmaniyah pada 1453.

Namun pada 1935, status Hagia Sophia ditukar pula sebagai muzium oleh Mustafa Kemal.

Langkah itu diambil bagi menjadikan Istanbul sebagai negara sekular dan lebih moden.

Sehingga pada awal bulan ini, Hagia Sophia akhirnya dimuktamadkan kembali sebagai masjid selepas mahkamah Turki membatalkan keputusan Majlis Menteri bertarikh 24 November 1934 mengenai penukaran ba­ngunan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.