Bukan medan siapa lebih ‘Sabahan’ - Utusan Malaysia

Bukan medan siapa lebih ‘Sabahan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARISAN Nasional (BN) mempunyai misi besar untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan yang digelar sebagai ‘anak sulung’ UMNO di bumi Sabah.
Sebab itulah, BN Sabah mempertaruhkan orang lama, Datuk Seri Salleh Said Keruak, anak jati Kota Belud dalam pertembungan tiga penjuru.
Ditemui wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP, Salleh melontarkan pendapatnya berkenaan beberapa isu panas Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

UTUSAN: Datuk Seri dapat rasa tak momentum kempen selepas seminggu ini?
SALLEH: Kita telah menemui pengundi di DUN Usukan, saya lihat majoriti mahu ubah balik kerana mereka yang sedar Parti Warisan Sabah (Warisan) semasa menjadi pemerintah, tiada kemajuan berlaku. Mereka ha­nya main politik semata-mata. Saya juga lihat semua pengundi mahukan sebuah kerajaan yang boleh bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, untuk menentukan adakah kita boleh perhebatkan lagi pemba­ngunan di kawasan kita.

WARISAN gemar memainkan sentimen anti-Malaya, anti-Kuala Lumpur. Adakah orang di Usukan terpengaruh?
SAYA berpendapat hak Sabah ini adalah hak rakyat Sabah. Sepatutnya tidak dipolitikkan, kerana ia akan menanam politik kebencian. Kita akui ba­nyak perkara perlu kita runding de­ngan kerajaan Persekutuan, tetapi harus dilakukan melalui meja perundingan. Tidak dalam suasana yang mahu tunjukkan kepada rakyat Sabah seolah-olah kita lebih ‘Sabahan’ daripada orang lain. Seingat saya Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengatakan dengan jelas bahawa mana-mana hak yang telah terambil akan dikembalikan. Tidak ada soal hak Sabah akan diambil alih.
Covid-19 baru berlaku, Wari­san jadi kerajaan hampir dua tahun. Sekarang baru mereka bercerita untuk mengagihkan geran tanah, menentukan rak­yat dapat lima ekar seorang. Ini bukan benda baharu, sejak dahulu lagi.

ADAKAH apa yang dilakukan Warisan hanya gimik semata-mata?
SEOLAH-OLAH mereka yang lakukan sedangkan ia sudah dilakukan sejak dahulu lagi tetapi kita tidak politikkan. Biasanya, rakyat berhak untuk membuat permohonan tanah dan diproses melalui Jawatankuasa Kemajuan Tanah, Pejabat Daerah dah kemudian tanah diukur. Ada proses­nya dan kita tidak politikkan.

PRESIDEN Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut memainkan isu yang BN hanya memberikan geran komunal. Komen Datuk Seri?
GERAN komunal dilaksanakan mempunyai tujuan-tujuan tertentu. Walaupun ketika itu geran komunal diperkenalkan tetapi geran biasa juga masih diadakan. Bukan bererti tiada lagi geran untuk mana-mana individu. Geran komunal itu dilakukan kepada kawasan-kawasan tertentu untuk menentukan bahawa ia akan menjadi kebaikan untuk semua pihak dalam komuniti tersebut. Tetapi ia tidak melarang pengeluaran geran-geran kepada mana-mana pihak yang memohon mengikut peraturan sedia ada. Apa yang mereka lakukan seolah-olah semua benda dahulu adalah salah. Sebenarnya tidak sama sekali.

MOHD. Shafie pernah menjadi menteri Persekutuan. Tetapi sekarang mahu tunjuk dia lebih Sabahan daripada orang lain. Kenapa?
Mohd. Shafie bekerja de­ngan Persekutuan berpuluh tahun. Dia pun tahu sistem pentadbiran tetapi saya melihat dia cuba menjadi jaguh.
Isu Sabahan hanya kerana politik semata-mata. Dia pernah buat kenyataan tidak perlukan kerajaan Pusat, kita pun boleh memajukan Sabah. Sedangkan jelas dalam Perlembagaan, kita mempunyai kuasa-kuasa yang tertentu dan kerajaan Pusat juga punya kuasa-kuasa yang terten­tu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN