Kebelakangan ini semakin ramai terutama golongan muda tanpa berselindung mengaku secara terbuka mereka mengalami masalah mental seperti kebimbangan melampau atau anxiety di media sosial.
Namun ramai yang tidak menyedari, mengakui secara terbuka mengalami anxiety tanpa disahkan secara rasmi oleh pakar perubatan sebenarnya boleh mengundang bahaya.
Ini kerana ramai tidak menyedari anxiety adalah penyakit mental yang serius dan bukanlah isu yang boleh dibuat sebagai gurauan semata-mata untuk mendapatkan perhatian atau simpati orang ramai.
Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Norezzati Md. Hanafiah berkata, secara khususnya, mengisytiharkan diri ada anxiety tanpa rujukan pakar membahayakan kerana ia boleh mengakibatkan seseorang tidak mendapatkan pemahaman yang betul mengenai apa itu penyakit mental – anxiety.

“Tanpa diagnosis dan bimbingan yang tepat mengenai penyakit yang dihadapi, individu berisiko tersalah faham apa sebenarnya yang dialami mereka dan berkemungkinan tidak mendapatkan bantuan atau rawatan khusus yang diperlukan,” katanya.
Lebih buruk lagi, katanya, ‘kepercayaan’ mereka mengalami masalah mental sebenarnya boleh memberi tekanan dan mengganggu emosi diri sendiri akibat stigma masyarakat.
Stigma yang masih menebal mengenai penyakit mental membuatkan ramai hilang kepercayaan kepada individu yang mengaku mengalami masalah mental sekali gus mempengaruhi masa depan mereka kelak.
“Ada yang dibelenggu stigma ini mungkin malu atau takut dihakimi kerana boleh membuat mereka enggan untuk mengakuinya. Sesetengah mungkin selesa untuk berkongsi pengalaman mereka, terutamanya jika ada sokongan yang baik,” katanya.
Norezzati berkata, diagnosis untuk penyakit anxiety hanya boleh dilakukan oleh pakar psikiatri. Penilaian lanjut akan dilaksanakan membabitkan konsultasi untuk mengenalpasti simptom penyakit dan sejarah perubatan individu berkenaan.
Terdapat juga soal selidik atau skala penilaian untuk mengukur tahap anxiety. Rujukan utama untuk diagnosis penyakit anxiety adalah berdasarkan Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5).
Anxiety adalah isu kesihatan mental yang diperincikan dengan simptom seperti rasa cemas, takut, atau kerisauan melampau. Ia boleh muncul sebagai respons terhadap rasa takut atau ketidakpastian berlebihan.
Simptom paling umum dialami pesakit anxiety adalah rasa takut, bimbang atau risau yang melampau dan berterusan. Ada juga gejala fizikal seperti berdebar-debar, berpeluh atau menggigil.
“Sekiranya seseorang mengalami simptom ini, mereka atau ahli keluarga terdekat perlu segera membawanya untuk rawatan sewajarnya daripada pengamal perubatan bertauliah,” katanya.
Norezzati berkata, menyedari diri mengalami anxiety dan tidak mendapatkan rawatan sewajarnya, boleh mengakibatkan individu terbabit mengalami simptom yang lebih teruk dan boleh mengganggu kehidupan seharian.
Sokongan MORAL
Norezzati berkata, keluarga pesakit mental seperti anxiety hendaklah menawarkan sokongan secara psikologi atau emosi dan moral kepada penghidap.
“Pastikan mereka tahu mereka tidak bersendirian. Sebarkan emosi positif. Emosi positif membantu meningkatkan keyakinan mereka. Sediakan ruang untuk individu berkenaan bercakap mengenai perasaan mereka tanpa rasa dihakimi. Dengar dengan empati.
“Beri galakan untuk mendapatkan bantuan profesional sekiranya perlu. Perkara ini termasuklah terapi atau perundingan dengan pakar perubatan atau pengamal perubatan kesihatan mental yang bertauliah,” katanya.
Fakta
Dapatan kajian Prevalence and factors associated with depression, anxiety and stress in Malaysia during Covid-19 pandemic: A systematic review” menunjukkan kes:
Kemurungan
14.3 peratus hingga 81.7 peratus
Kecemasan
8.0 peratushingga 81.7 peratus
Tekanan
0.9% hingga 56.5 peratus
Jenis masalah mental mengikut kategori usia:
Golongan dewasa menunjukkan prevalens kemurungan yang tertinggi.
Pelajar universiti melaporkan prevalens kebimbangan (anxiety)tekanan yang tertinggi.
Laporan Malaysia Mental Health Youth Index 2023 menunjukkan pada tahun 2022, 3 daripada 10 belia yang berusia daripada 15 hingga 40 tahun, menghadapi simptom anxiety dari tahap sederhana ke teruk.
Punca anxiety:
Anxiety berlaku kerana gabungan beberapa faktor risiko. Antara beberapa faktor yang boleh menyebabkan anxiety termasuklah:
Sejarah/latarbelakang keluarga
Pengalaman hidup traumatik
Tekanan yang tidak diuruskan dengan baik
Desakan-desakan dalam hidup seperti kekangan kewangan, strategi daya tindak pengurusan emosi yang tidak baik, penyalahgunaan bahan dan lain-lain lagi.
Faktor keturunan
Anxiety boleh dikaitkan dengan faktor keturunan yang mana individu yang mempunyai ahli keluarga dengan gangguan anxiety lebih berisiko mengalaminya.
Cara dibesarkan juga boleh memainkan peranan; sebagai contoh, pengalaman traumatik yang berlaku dalam dalam keluarga atau kurangnya sokongan emosi boleh meningkatkan risiko.
Cara pemikiran menjadi faktor meningkatkan risiko anxiety.
Katanya, ibu bapa atau keluarga juga boleh memberi galakkan dengan menemankan pesakit ke temu janji dengan doktor. Dengan cara ini, pesakit akan berasa tidak keseorangan dan adanya ibu bapa atau keluarga yang bersama-sama mereka untuk berjuang menjadi lebih baik.
“Menerusi cara ini, keluarga akan lebih peka mengenai bagaimana untuk mengendalikan tingkah laku tidak normal pesakit. Pemahaman yang tepat dapat membantu keluarga memberikan sokongan yang lebih baik dan penuh kasih sayang,” katanya.
Rawatan
Rawatan untuk anxiety meliputi terapi dan ada yang memerlukan ubat-ubatan yang dipreskripsi oleh Pakar Psikiatri. Terapi tingkah laku Kogniti (CBT) dan terapi lain boleh membantu individu mengenal pasti dan mengubah pola pemikiran yang tidak sihat.
“Simptom awal anxiety juga boleh dibantu dengan sokongan perkhidmatan kaunseling. Namun, kesan rawatan boleh berbeza bagi setiap individu; ada yang mungkin berkesan iaitu dengan hanya satu kaedah rawatan dapat memberikan kesan yang positif.
“Ada pesakit yang mungkin memerlukan kombinasi terapi dan ubat. Oleh itu, waris atau pesakit perlu selalu berbincang dengan pengamal perubatan atau kesihatan mental yang profesional untuk mendapatkan pendekatan yang sesuai dan tepat,” katanya. –UTUSAN










