Sejak akhir-akhir ini, Dilla risau apabila prestasi sekolah anak perempuannya, Damia, 9, semakin merosot sedangkan sebelum ini anaknya itu cemerlang dalam peperiksaan dan tiada ada masalah termasuk rabun jauh.
“Mia tak nampak apa yang cikgu tulis dekat papan hitam. Dahlah duduk di meja belakang sekali,” kata Damia sambil memuncungkan bibir apabila ditanya kenapa markah dalam peperiksaannya kali ini kurang baik.
Pada mulanya, Dilla fikir anaknya itu sengaja memberi alasan supaya tidak dimarahi tetapi lama-kelamaan, Dilla terlintas untuk membawa Damia menjalani pemeriksaan mata. Tambahan pula
Damia juga sering tidak dapat menyalin nota yang ditulis oleh cikgunya di papan hitam.
Selepas mata Damia diperiksa, ternyata anak keduanya itu mengalami rabun jauh yang agak tinggi di kedua-dua mata. Patutlah Damia sering mengadu sakit kepala setiap kali pulang dari sekolah.
Sejak menjalani pemeriksaan mata, Dilla membawa Damia membuat cermin mata. Damia kini lebih gembira ke sekolah kerana matanya tidak lagi kabur.
Rabun jauh adalah antara masalah mata yang sering dihadapi kanak-kanak di negara ini. Rabun jauh atau Myopia adalah keadaan di mana cahaya yang masuk ke dalam mata terfokus di hadapan retina yang menyebabkan objek pada jarak jauh kelihatan kabur. Rabun jauh terjadi disebabkan bola mata yang terlalu panjang dan kuasa refraktif mata yang tinggi.
Pakar Bedah Katarak dan Refraktif KPJ Rawang, Dr. Lai Voon Ping berkata, kanak-kanak biasanya akan mengalami beberapa masalah rabun iaitu rabun jauh, rabun dekat dan rabun silau.

“Rabun dalam kalangan kanak-kanak boleh terjadi disebabkan genetik atau keturunan yang mana ibu atau bapa mengalami masalah berkenaan atau persekitaran yang menyebabkan mereka menjadi rabun.
“Persekitaran termasuk gaya hidup seperti banyak menumpukan kepada gajet elektronik seperti telefon dan komputer yang boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah penglihatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Memeriksa mata
Ibu bapa perlu lebih cakna atau peka dengan perubahan anak terutama apabila mengalami kemerosotan penglihatan atau apabila anak mengadu tidak boleh membaca tulisan pada jarak dekat atau jauh.
Dr. Lai berkata, masalah rabun mata hanya boleh dikesan oleh pakar mata, optometris atau optician. Ibu bapa boleh mengesyaki anak mereka mengalami rabun mata dengan beberapa gejala yang boleh diperhatikan.
“Gejala-gejala seperti anak akan melihat sesuatu objek dengan jarak lebih dekat, menelengkan kepala atau memejam dan mengecilkan mata untuk membaca atau fokus kepada sesuatu objek.
“Gejala-gejala ini adalah petanda anak mungkin tidak dapat melihat dengan jelas tulisan atau objek di hadapannya. Ujian mata perlu dijalankan untuk memastikan jenis dan tahap rabun dialami,” katanya.
Sekiranya anak disahkan rabun, anak perlu memakai cermin mata untuk memberinya peluang melihat dengan jelas. Optometris akan menasihatkan pemilihan kanta yang sesuai dengan tahap rabun anak.
Katanya, pemakaian cermin mata tidak akan mengubah tahap rabun kanak-kanak atau memburukkan lagi tahap rabun mereka. Bagaimanapun, ia boleh membantu anak melihat dengan jelas.
“Rabun yang tinggi dan tidak dirawat, boleh menyebabkan mata menjadi malas atau Ambliopia iaitu kemerosotan penglihatan pada sebelah mata. Itu sebabnya perlu memakai cermin mata setiap masa, bukannya memakai apabila ke sekolah saja.
“Otak akan mengabaikan mata yang penglihatannya kabur dan memilih untuk melihat dengan mata yang mempunyai penglihatan lebih baik. Akibatnya, mata yang kabur tidak digunakan dan akan menjadi ambliopia,” katanya.
Cara elak rabun semakin teruk
Tambah Dr. Lai, kebanyakan rabun yang terjadi pada usia muda adalah rabun biasa kecuali rabun ini terjadi sekali dengan penyakit lain yang serius seperti katarak, glaukoma dan retinopati pramatang.
Retinopati pramatang yang berlaku dalam kalangan bayi pramatang, boleh menyebabkan kebutaan jika tidak dirawat segera.
“Kebiasaannya tahap rabun meningkat secara perlahan. Contohnya, rabun jauh meningkat secara perlahan apabila usia semakin meningkat. Ini disebabkan bola mata sedang membesar dan memanjang disebabkan tumbesaran kanak-kanak terbabit.
“Jadi, bagi memastikan tahap rabun jauh tidak meningkat secara mendadak, ibu bapa perlu memastikan anak tidak menjalankan aktiviti yang perlu fokus lama seperti bermain telefon bimbit atau gajet dalam jangkamasa panjang,” terangnya.
Tambah Dr. Lai, ibu bapa harus menggalakkan anak mereka menjalankan aktiviti luaran di tempat yang lapang seperti bermain bola di padang yang luas, sekurang-kurangnya dua jam sehari.
Galakkan anak bermain di bawah sinar cahaya semulajadi. Kajian mendapati kanak-kanak yang meluangkan masa lebih 90 minit sehari di luar boleh mengurangkan perkembangan rabun.
Kanak-kanak juga perlu merehatkan mata mereka dengan melihat benda atau objek jarak jauh. Selain itu, pastikan anak membaca di bawah lampu terang bagi mengurangkan tekanan pada mata.
Gejala lain mata rabun:
Membaca atau menulis terlalu dekat dengan muka
Sering melakukan kesalahan atau terlalu lambat menyalin tulisan guru di papan hitam.
Menyalin nota daripada kawan berbanding menyalin terus dari papan hitam atau lebih suka pergi berhampiran papan hitam untuk menyalin nota.
Menonton televisyen pada jarak dekat dan mengecilkan mata untuk fokus pada objek jarak jauh.
Kerap menggosok mata walaupun tidak mengantuk dan kerap mengelipkan mata.
Mata sensitif pada cahaya
Mata sering berair
Suka menutup sebelah mata ketika membaca atau menonton televisyen.
Kerap mengadu sakit kepala
Sukar mengagak jarak
Mengadu melihat dua objek.
Berikan makanan berkhasiat
Bagi mengekalkan kesihatan mata anak atau mencegah terjadinya rabun, pastikan anak diberi makanan yang kaya khasiat seperti zink, lutein, asid lemak Omega-3 dan vitamin A, C dan E.
Berikan juga anak makan buah-buahan yang mengandungi vitamin C dan E, seperti oren, strawberi dan mangga yang membantu mengekalkan tisu serta mencegah jangkitan mata.
Asid lemak omega-3 boleh didapati di dalam ikan seperti ikan kembung, cencaru, patin dan tongkol boleh mencegah mata menjadi kering dan mengurangkan risiko katarak atau penyakit mata berkaitan usia tua atau AMD.
Pastikan anak makan sayur-sayuran hijau yang mengandungi vitamin A seperti bayam dan kailan keran ia boleh membantu mengatasi kekeringan mata atau masalah penglihatan kabur di waktu malam.
Makanan bukan daging seperti telur dan kekacang juga membantu mengimbangkan diet anak anda. Makanan seimbang juga membantu mencegah obesiti dan hipertensi yang juga dikaitkan dengan penyakit atau masalah mata.
Lindungi mata dengan kaca mata yang betul. Kajian menunjukkan 90 peratus kecederaan mata dalam kalangan kanak-kanak boleh dicegah.
Pastikan anak memakai cermin mata yang mampu melindungi mata mereka dengan cermin mata kalis pecah atau lensa polikarbonat. – UTUSAN










