Kulit bayi baru lahir sangat rapuh dan sensitif kerana ia masih belum berkembang sempurna seperti kulit kanak-kanak lebih dewasa. Malah kulit bayi kurang daya tahan ke atas bakteria menjadikan bayi mudah mengalami alahan dan radang yang menyebabkan timbul ruam kemerahan serta gatal.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2022, mendapati kanak-kanak di bawah lima tahun terdedah kepada tahap bahan pencemar yang lebih tinggi yang boleh menjejaskan tumbesaran, menimbulkan masalah pernafasan dan isu kesihatan lain.
Terdapat banyak sebab yang mendedahkan bayi kepada risiko alahan dan radang kulit seperti sabun mandi, pencuci pakaian, fabrik yang dipakai dan persekitaran berhabuk.
Pegawai Perubatan Kesihatan Keluarga, Dr. Amanda Elle berkata, kulit bayi sangat nipis iaitu hanya lebih kurang satu milimeter saja menyebabkan ia mudah mengalami alahan oleh pelbagai sumber.

“Sebagai contoh, kalau orang dewasa menggunakan sabun mandi tertentu mungkin tidak ada apa-apa berlaku ke atas kulit mereka berbanding bayi. Oleh itu, kulit bayi ini sensitif kerana mudah dijangkiti. Justeru amat penting bagi ibu bapa memilih produk penjagaan kulit yang terbaik untuk menghalang masalah pada kulit bayi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog kulit sensitif bayi sempena pelancaran ReadyCare Signature (ReadyCare), jenama produk pembersihan bayi berasaskan tumbuhan seperti pencuci peralatan bayi, pencuci baju bayi dan semburan penyahkuman. Turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan ReadyCare, Yeoh Eng Foo dan Ahli Farmasi, Chong Jia Yi.
Dr. Amanda berkata, petanda awal yang boleh dikenal pasti oleh ibu bapa sekiranya bayi mengalami radang kulit adalah kulit kemerah-merahan, terdapat bintik-bintik atau seakan peta di atas kulit bayi.
“Bayi mungkin mengalami alahan terhadap sesuatu produk atau fabrik yang dipakai. Benda yang kita lihat tidak bahaya seperti produk bayi atau cuaca panas juga boleh menyebabkan kulit bayi mengalami alahan.
“Apabila ada ruam pada kulit bayi, segera berjumpa doktor bagi memastikan sama ada ruam biasa atau ruam berbahaya dan memerlukan rawatan segera atau sebaliknya,” katanya.
Tambah Dr. Amanda, sebagai contoh, keadaan yang berbahaya adalah apabila bayi tiba-tiba mengalami demam tinggi beserta ruam, hilang selera makan, mata dan bibir bengkak, sesak nafas atau nafas berbunyi ‘wheezing’ atau berdesir.
Tanda bayi sukar bernafas adalah apabila dada bayi berlekuk ketika bernafas. Bayi perlu segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana jika lewat, alahan boleh menyebabkan maut.
Bahan kimia
Terdapat beberapa bahan kimia yang boleh mencetuskan alahan ke atas bayi. Kebanyakannya seperti sodium lauryl sulphate (SLS) dan sodium laureth sulfate (SLE) iaitu ejen buih yang digunakan dalam sabun mandi, syampu dan pencuci pakaian.

“Ia boleh menyebabkan radang pada mata, kulit dan pernafasan bayi serta ekzema. Selain itu, elakkan paraben iaitu bahan pengawet kerana ia mendedahkannya kepada masalah organ serta isu berat badan kenatas bayi,” kata Dr. Amanda.
Sebagai pengguna dan ibu bapa, kena peka dengan bahan digunakan yang dipamerkan pada label setiap produk. Bagi memastikan ia selamat, periksa sama ada produk yang ingin dibeli diiktiraf Kementerian Kesihatan atau mempunyai sijil GMP atau USFDA serta produk berasaskan tumbuh-tumbuhan.
Dr. Amanda berkata, selain menggunakan produk selamat dan bebas bahan kimia, ibu bapa juga perlu memastikan persekitaran di dalam rumah juga sentiasa bersih.
“Ibu bapa juga perlu menjaga kebersihan kerana bayi boleh mengalami alahan yang berpunca daripada habuk, bulu kucing, bulu anjing dan sebagainya.
“Cara memastikan rumah bersih adalah dengan sentiasa membersihkan rumah daripada habuk yang terkumpul pada perabot, dinding dan kipas serta bahan alergen lain seperti peluntur,” katanya.
Tambah beliau, sebaiknya kurangkan keperluan menggunakan kimia lebih kuat di dalam bahan peluntur seperti pencuci lantai.
Cara mengelakkan Sulfates
Pilih produk bebas sulfate dan pastikan tiada bahan berikut:
Sodium lauryl sulfate (SLS)
Sodium laureth sulfate (SLES)
Sodium lauryl ether sulfate
Ammonium laureth sulfate (ALS)
Sodium stearyl sulfate
Sodium lauryl sulfoacetate (SLSA)
Sodium coco sulfate
Wangian yang tertulis pada label mungkin mengandungi ratusan bahan kimia seperti:
ftalat, alkilfenol, etanol, aseton dan bahan lain.
Masalah kesihatan berikut mungkin timbul pada bayi yang baru lahir akibat daripada bahan kimia berbahaya oleh produk wangian:
Alahan pada pernafasan
Alahan kulit
Sakit kepala
Kerengsaan pada mata, hidung, atau tekak
Loya
Gejala tingkah laku
Gunakan jumlah larutan yang sesuai, bagi mengurangkan risiko serta pastikan mengikut jumlah larutan yang disarankan pada label yang dipaparkan pada produk berkenaan.
Apabila menggunakan bahan peluntur, pastikan peredaran udara di dalam rumah adalah baik dengan membuka tingkap dan memasang kipas untuk mengurangkan risiko bayi terhidu bahan kimia itu.
Pewangi dalam produk bayi
Tidak dinafikan dengan memandikan bayi dengan produk yang wangi boleh merangsang dan meningkatkan kemahiran motor dan deria mereka.
Ini secara langsung memberikan memori wangian kepada bayi. Haruman seperti lavender, chamomile, vanila dan mawar didapati membantu bayi tidur lebih lena.
Bagaimanapun Chong Jia Yi berkata, adalah penting untuk ibu bapa memahami tidak semua produk yang mengandungi wangian selamat untuk bayi.
“Hakikatnya, pewangi tiruan boleh memburukkan lagi alahan bayi. Kulit bayi akan gatal dan kemerah-merahan dan merasa kepanasan. Namun bayi biasanya tidak boleh meluahkan perasaan yang dialami. Jadi, mereka akan menangis sahaja,” katanya.
Justeru, ibu bapa dinasihatkan supaya membeli produk mandian dan penjagaan kulit bayi yang menggunakan formula lembut serta semulajadi untuk bayi anda. Wangian semulajadi lebih selamat digunakan dalam kebanyakan produk bayi bermula daripada losyen dan pembersih pakaian, mandian serta pembersih bayi.
Wangian tiruan mengandungi bahan kimia, seperti ftalat, alkilfenol, etanol, aseton dan bahan lain yang boleh menjejaslan kulit bayi sensitif dan lembut.
Ia boleh menyebabkan kesan serius seperti alahan pernafasan, kulit, sakit kepala, kerengsaan pada mata, hidung atau tekak. – UTUSAN










