Batuk dialami semua orang tidak mengira tahap usia. Bezanya ada yang mengalami batuk dalam tempoh singkat dan sesetengah pula mengalaminya dalam tempoh yang lama.
Batuk berhari-hari atau berminggu-minggu lamanya pasti akan mengganggu kehidupan seharian malah membuatkan semua kerja jadi tidak kena selain membuatkan orang sekeliling menjadi resah.
Tidak cukup dengan berbotol ubat batuk diambil, ramai yang turut mencuba pelbagai lagi ubat tradisional, namun batuk yang dialami tidak berkurangan atau lega malah semakin menjadi-jadi.
Pakar Onkologis, Dr. Mar’fuah Nik Ezamuddeen berkata, batuk yang membimbangkan adalah yang sudah dirawat tetapi tidak sembuh serta berlarutan sehingga pesakit keletihan.
“Batuk biasanya berlaku akibat terdapatnya jangkitan kuman, mengalami selsema biasa atau influenza. Lazimnya kebanyakan batuk biasanya berlangsung antara 10 sehingga 14 hari.
“Lebih merisaukan selepas doktor memberikan antibiotik, batuk yang dialami masih tidak sembuh dan pesakit mengalami simptom atau gejala baharu seperti sakit dada, semakin susah bernafas atau batuk berdarah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Justeru jika batuk berpanjangan dengan gejala seperti sesak nafas dan batuk berdarah, Dr. Mar’fuah menasihatkan pesakit supaya segera berjumpa pakar untuk menjalani pemeriksaan paru-paru.

Katanya, pada peringkat awal, batuk yang biasa sebenarnya boleh menerima rawatan am di klinik sahaja. Namun apa yang menjadi masalahnya ramai pesakit bertukar dari satu klinik ke klinik yang lain atau berjumpa doktor berbeza apabila batuk yang dialami tidak sembuh.
“Selepas menerima rawatan klinik, A dan tidak juga sembuh, pesakit tidak pergi semula ke klinik A. Sebaliknya akan ke klinik B pula sebab mereka fikir klinik A beri ubat yang tidak bagus.
“Klinik B akan nampak sebagai pesakit yang biasa dan memulakan rawatan biasa semula. Nasihat saya, pergi kepada doktor yang mula-mula pesakit jumpa supaya doktor itu tahu, ia adalah batuk yang berpanjangan dan tidak sembuh dengan rawatan yang diberikan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, jika masih belum dapat didiagnosis punca batuk, pesakit perlu berjumpa pakar paru-paru yang akan menjalankan pelbagai pemeriksaan seperti ujian darah.
Ujian darah dijalankan untuk mengesan sekiranya berlaku jangkitan. Doktor juga akan mengambil spesimen atau sampel daripada kahak untuk melihat jika ada jangkitan kuman.
“Kadang-kala pesakit mungkin perlu menjalani X-Ray untuk mengesan sebarang ketumbuhan di kawasan paru-paru. Kalau ada ketumbuhan, pemeriksaan akan diteruskan dengan skan yang lebih jelas. Kaedah ini memastikan sama ada ketumbuhan sudah merebak ke mana-mana bahagian tubuh,” katanya.
Dr. Mar’fuah berkata, batuk yang tidak reda dan berpanjangan berkemungkinan adalah petanda pesakit mengalami masalah kesihatan lain seperti tuberkulosis atau tibi, kanser atau asma.
Punca tibi adalah akibat jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang lazimmya menyerang paru-paru dan menyebabkan gejala batuk berpanjangan dan mengalami batuk berdarah.
“Tibi yang juga dikenali sebagai batuk kering kerap berlaku dalam masyarakat kita. Gejala tibi juga boleh menyerupai kanser paru-paru. Antara simptom tibi selain batuk berpanjangan, pesakit juga akan kurang selera makan, menjadi kurus atau berat badan menurun dan keletihan melampau.
“Sekiranya batuk didapati bukan tibi, batuk berpanjangan juga berkemungkinan adalah petanda seseorang itu mengalami kanser paru-paru. Kanser paru-paru boleh dikesan melalui X Ray dada, CT Scan dan ujian biopsi, bronkoskopik atau torakskopik. Sedikit tisu daripada paru-paru akan diambil untuk diperiksa di bawah mikroskop,” katanya.
Tambah beliau, ujian imunohistokimia dan ujian molekular juga akan dijalankan bagi mengesan punca kanser dan untuk membezakan tahap kanser yang dialami pesakit. Ujian ini juga bertujuan menentukan rawatan atau ubat yang sesuai.
FAKTA
Batuk boleh berlaku dalam tempoh berpanjangan atau singkat. Bergantung kepada punca. Batuk boleh menjadi akut atau kronik.
Batuk akut biasanya bermula akibat selsema, flu atau jangkitan sinus. Ia biasanya hilang selepas tiga minggu.
Batuk sub akut berlangsung tiga hingga lapan minggu. Batuk kronik berlangsung lebih lama daripada lapan minggu.
Punca batuk:
Alahan membabitkan hidung atau sinus
Asma dan COPD
Selsema biasa, flu dan jangkitan virus
Jangkitan paru-paru seperti pneumonia atau bronkitis akut.
Penyakit refluks Gastroesophageal (GERD)
Batuk juga boleh menunjukkan seseorang itu berkemungkinan mengalami serangan asma iaitu penyakit kronik paru-paru yang boleh menimpa golongan kanak-kanak dan orang dewasa.
“Gejala asma biasanya menyebabkan pesakit batuk berpanjangan, dada berbunyi berdesir, sesak nafas dan dada terasa ketat. Gejala ini boleh menjadi ringan atau teruk.
“Batuk disebabkan asma juga selalunya berlaku apabila bersukan, melakukan aktiviti lasak atau terdedah kepada punca yang boleh mencetuskan asma. Sebagai contoh berdepan dengan debu dan cuaca sejuk,” katanya.
Batuk adalah antara cara tubuh pesakit cuba menyingkirkan alahan yang menyebabkan paru-paru menjadi radang. Radang menyebabkan salur pernafasan sempit dan seterusnya sukar bernafas. Walaupun asma boleh menjadi serius ia boleh diuruskan dengan rawatan yang betul.
Bagaimanapun batuk yang berpunca daripada asma tidak boleh lega dengan ubat batuk. Asma hanya boleh dikawal dengan menggunakan ubat yang diberikan oleh doktor seperti inhaler atau nebuliser. – UTUSAN










