Seorang daripada lima kanak-kanak di negara ini didapati mengalami kekurangan khasiat pemakanan yang dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhan mereka dan memerlukan ia ditangani segera dan satu daripada caranay adalah melihat semula menu kantin sekolah.
Gaya pemakanan sihat sewajarnya dididik sejak kecil namun apa yang menyedihkan, kanak-kanak hari ini didedahkan dengan makanan tidak sihat bermula di rumah sehinggalah di sekolah.
Lebih membimbangkan, di sekolah di mana kebanyakan masa anak-anak berada juga dihidangkan dengan makanan segera dan tidak berkhasiat yang boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang.
Justeru pihak sekolah dan pemilik kantin disarankan supaya mengamalkan lima langkah dalam proses penyediaan makanan yang sihat di kantin bagi memenuhi keperluan khasiat untuk murid-murid membesar.
Ketua Pakar Pemakanan Alpro Pharmacy, Jayne Luah berkata, langkah pertama yang disarankan adalah dengan mengelakkan minuman manis dan banyak gula kerana ia akan mendedahkan kanak-kanak dengan obesiti dan komplikasi penyakit lain seperti diabetes.

“Langkah kedua adalah kategori makanan sebagai makanan harian atau makanan selektif. Makanan harian mesti merujuk kepada apa yang dicadangkan oleh piramid makanan dan makanan selektif adalah pilihan makanan yang tinggi dalam lemak, gula dan garam yang harus dikurangkan.
“Langkah ketiga adalah menyediakan makanan seimbang menggunakan konsep Suku-Suku Separuh (Pinggan Sihat Malaysia) untuk memupuk tabiat pemakanan yang lebih sihat. Makanan seimbang mesti merangkumi 1/4 daripada produk gandum, 1/4 daripada protein dan 1/2 daripada buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau berkata, langkah seterusnya iaitu keempat adalah menggunakan cara masakan yang sihat seperti kukus, sup atau panggang. Pihak kantin perlu mengelakkan daripada memasak dengan menggoreng atau elakkan cara masak yang mengandung minyak dan lemak yang berlebihan.
Sebaliknya, tambah Jayne, kantin sekolah boleh menggunakan strategi pintar seperti 4 “Ps” Pemasaran untuk menggalakkan pelajar membeli dan menikmati makanan harian. Strategi ini antara lain menentukan sebahagian kos dan bagaimana cara ia dipromosikan.
Analisis menu yang akan dipasarkan atau diperkenalkan dan ciri-ciri yang menjadikannya menarik. Pertimbangkan produk serupa yang sudah ada di pasaran. Bahan-bahannya lebih berkhasiat dan segar.
Fikirkan harga yang sesuai untuk makanan yang dijual yang bukan semata-mata hanya bermotifkan keuntungan. Anda mungkin meletakkannya sebagai produk premium atau mewah atau sebagai alternatif dengan harga yang lebih rendah.
“Berdasarkan penilaian pakar pemakanan yang dijalankan oleh Alpro Farmasi menerusi program dijalankan ini mendapati, kebanyakan makananan dijual di kantin sekolah masih kurang memuaskan.
“Penilaian makanan di kantin sekolah itu, merangkumi faktor-faktor seperti kandungan nutrisi, jenis makanan, saiz hidangan dan keseimbangan nutrisi makan yang dijual. Paling ketara adalah makanan dijual di kantin sekolah tidak menepati kesimbangan makanan.
“Kebanyakan makanan dihidangkan atau dijual di kantin sekolah di sekitar Seremban iaitu lokasi lawatan dibuat adalah kurang kandungan protein atau serat yang tidak membantu pertumbuhan dan kecerdasan kanak-kanak,”katanya.
Antara contoh menu-menu kurang sihat yang terdapat di kantin sekolah adalah makanan terproses seperti nugget ayam goreng, kentang goreng, hotdog dan minuman ringan manis seperti air tin atau botol.
Jayne yang turut terbabit dalam lawatan kantin sekolah bagi menilai menu ditawarkan berkata, tiada salahnya menghidangkan makanan biasa seperti mee goreng, bihun sup atau nasi ayam. Namun apa yang penting adalah menjadikan makanan-makanan berkenaan lebih berkhasiat dan seimbang supaya membantu perkembangan murid-murid di sekolah.
PELUANG MENIKMATI MENU SIHAT
Bagi menggalakkan amalan pemakanan sihat, pakar-pakar pemakanan dari Alpro menyediakan buku Alpro Eats Healthy Recipes khas untuk murid-murid sekolah.
“Buku resipi ini yang mengandungi beberapa resipi yang disediakan oleh pakar diet boleh dijadikan sebagai satu rujukan oleh pihak sekolah dan pemilik kantin dalam meningkatkan kualiti makanan-makanan dijual di kantin mereka.
“Pelbagai contoh makanan yang biasa disertakan dalam buku ini tetapi dalam buku resipi ini, pakar-pakar pemakanan di Alpro turut memberikan beberapa petua untuk menyediakan makanan biasa tetapi lebih berkhasiat,” terangnya.
Katanya, penerimaan kanak-kanak dengan menu baharu berkenaan adalah berbeza kerana menu makanan yang ditawarkan bergantung ke atas setiap pengendali kantin berdasarkan kos, bajet dan jumlah pelajar yang berbeza.
Program Alpro Eats masih dalam proses memberikan nasihat berdasarkan keadaan kantin. Namun, pelajar kini mempunyai peluang untuk menikmati menu yang lebih sihat dan memahami kepentingan makanan seimbang.
“Kebanyakan vendor kantin dan kakitangan di sekolah sangat memberi kerjasama dan positif terhadap cadangan dari Pakar Pemakanan dan Dietitian (N&D), Alpro Pharmacy dalam menyediakan makanan yang berkhasiat dan lazat.
“N&D memberikan nasihat dan panduan diet kepada vendor kantin dan kakitangan sekolah, memastikan mereka dapat menyajikan pilihan makanan yang sihat untuk pelajar, mengikut keperluan semua kanak-kanak,”katanya.
“Perjalanan Pertumbuhan Sihat Saya” adalah perkhidmatan percuma yang disediakan oleh N&D Alpro, tujuannya untuk memastikan perkembangan kanak-kanak yang sihat di luar persekitaran sekolah.
“Murid dan ibu bapa juga diberikan nasihat secara peribadi bagi menjelaskan status pemakanan dan pertumbuhan mereka. Selain itu, mereka juga didedahkan dengan memupuk tabiat yang sihat bagi mengukuhkan sistem imun mereka,” katanya.
Selain itu, mereka juga dibantu dalam meningkatkan tahap tenaga, menguruskan berat badan secara berkesan dan meningkatkan kepercayaan diri serta membimbing kanak-kanak ke arah pertumbuhan sihat secara keseluruhan. – UTUSAN










