Menerusi sesi bersama selebriti, slot pertama dimulakan dengan kumpulan Zero yang berkongsi tips dan pengalaman mereka dalam bidang keusahawanan.

Juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM) yang dianggotai trio adik beradik Atu, Syaiful dan Sharif ini mula menceburi dunia perniagaan selepas memenangi pertandingan tersebut.

Antara perniagaan yang mereka ceburi ialah kek lapis, coklat dan import eksport ikan.

"Selepas memenangi pertandingan MLM, kami mula berfikir bagaimana untuk melaburkan hasil duit kemenangan itu ke arah lebih manfaat.

"Jadi kami nampak bidang perniagaan adalah cara terbaik kerana dalam Islam pun menyebut sembilan daripada 10 rezeki adalah dalam perniagaan," kata Sharif.

Berlangsung selama tiga hari, Fiesta MED 2019: Usahawan Wira Ekonomi turut dimeriahkan dengan program seperti Karaoke Terbuka, Battle of The Band, Gusti Lengan Mr. Melaka dan banyak lagi!

Dalam pada itu, pukul 8 malam ini akan berlangsung forum agama Perniagaan Satu Perjuangan- Rasululah Ikon Usahawan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Akhil Hayy di pentas utama.

Fiesta MED, anjuran MHE dengan kerjasama MED turut disertai semua agensi di bawah MED antaranya TEKUN National, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKN), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, PROTEGE, MAGIC, Institut Latihan Keusahawanan Negara (INSKEN) dan UDA Holdings. - UTUSAN ONLINE