Ternyata cintanya terhadap kerjaya pramugari yang sudah enam tahun diceburi masih menjadi cinta pertama buatnya. Namun, dia tidak menolak jika suatu hari namanya lebih diperlukan dalam dunia lakonan dan ada pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Saya sudah enam tahun bekerja sebagai pramugari, jadi untuk drama Setelah Terlafaznya Akad saya meminta cuti selama lapan bulan termasuk sebulan untuk menghadiri kelas lakonan.

Zeera Azizi

“Jujurnya saya tidak pernah sangka akan memilih bidang lakonan dan ini adalah drama pertama saya. Bila dapat tawaran, saya fikir ini adalah percubaan pertama dan saya ingin lakukan yang terbaik. Sebab itu saya masuk kelas lakonan, bagaimanapun saya yakin masih banyak yang perlu saya pelajari untuk betul-betul pastikan ini adalah bidang yang sesuai untuk mencari rezeki,” kongsinya.

Menjadikan dunia pramugari sebagai cinta pertama ketika ini, kata Zeera, dia banyak berkongsi pendapat dengan adiknya yang juga seorang pelakon, Neera Azizi.

“Buat masa ini memang saya banyak tanya pendapat Neera sebab dia lebih dahulu bergelar seorang pelakon.

“Cuma, untuk tinggalkan ‘awan biru’ saya belum betul-betul yakin. Buat masa ini pihak syarikat saya bekerja sangat memahami, jadi lebih senang sekiranya saya meminta cuti jika ada tawaran lain selepas ini,” tambahnya lagi.

Berkongsi kisah sebagai antara peserta paling awal yang disingkir dalam sebuah program realiti baru-baru ini, dia tidak pernah sangka ada rezeki berbeza buatnya. Namun Zeera yakin ini adalah permulaan yang baik.

Zeera Azizi

“Bila tersingkir awal memang saya tidak terfikir langsung ada peluang untuk saya berada dalam dunia glamor ini. Tetapi bila tawaran datang dengan watak yang cukup berat, saya tidak berfikir panjang.

“Cuma, membawa watak antagonis sebagai pelakon baharu ada cabaran tersendiri. Memang awalnya saya agak takut untuk berlakon di samping Uqasha Senrose dan Kamal Adli, tetapi kedua mereka sangat membantu,” katanya.

Tidak berselindung untuk memberitahu dia kini rapat dengan  Arill Fesol, Zeera lebih senang untuk bersikap terbuka dalam hal ini. Menurutnya selepas hampir dua tahun mengenali Arill, dia selesa dengan penyanyi tersebut.

“Walaupun dia muda dua tahun daripada saya, tetapi jujurnya dia lebih matang. Selepas hampir dua tahun bercinta, saya rasa tidak adil untuk kami berselindung soal hubungan.

“Bagaimanapun, bukan bermakna kami akan menjadikan media sosial sebagai medan
untuk menayang,”
katanya.