Bukan meminta atau mendoakan sesuatu yang buruk terjadi dalam sesebuah perkahwinan, namun wanita harus bersedia kerana tiada siapa yang boleh meramal apa yang terjadi.

Begitu cara pemikiran penyanyi Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, yang baru sahaja berpisah dengan suaminya, Aliff Aziz.

BELLA ASTILLAH tidak mahu memikirkan soal lain kecuali kerja keras demi kelangsungan hidup.
BELLA ASTILLAH tidak mahu memikirkan soal lain kecuali kerja keras demi kelangsungan hidup. 

Bella lebih berfikiran positif dan kuat bekerja demi menjamin ekonomi diri dan anaknya, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia setahun.

“Apa yang berlaku (perceraian) antara saya dan Aliff biar menjadi sejarah hidup kami. Perpisahan kami sudah ditakdirkan. Dalam masa yang sama saya tidak ada pendam rasa marah atau dendam kerana sudah reda dengan ketentuan Ilahi. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Apa yang penting sekarang adalah kehidupan saya sebagai ibu tunggal dalam membesarkan Ayden. Saya tidak boleh bersedih lagi dengan peristiwa lalu sebaliknya harus bangkit demi meneruskan kehidupan.

 

“Bagi saya, walaupun bercerai wanita kena kuat kerana kita mempunyai tanggungjawab dan fokus yang jauh lebih penting. Saya sibukkan diri dengan kerjaya untuk mengelak daripada memikirkan hal yang sedih. Iyalah, Siapa yang berkahwin nak bercerai kan?” katanya.

Bercerita tentang kehidupannya kini, Bella sangat bersyukur kerana dilimpahkan dengan pelbagai rezeki untuk dia dan anak.

Terbaru, Bella berkolaborasi bersama penyanyi dangdut, Ifa Raziah dan Zizi Kirana melalui lagu Starlela.

“Alhamdulillah, rezeki saya dalam nyanyian dan ulasan produk semakin murah. Insya- Allah ada lagi beberapa projek yang sedang dibincang­kan. Jadi saya harus terus pandang ke hadapan, tidak mahu toleh ke belakang lagi.

“Terima kasih juga kepada Ifa kerana memberikan saya peluang ini. Siapalah saya kalau hendak dibandingkan dengan Ifa dan Zizi. Saya anggap ini satu rezeki dan cabaran untuk buat yang terbaik dalam nya­nyian.

“Ka­lau ada sebarang komen atau kritikan, silakan. Saya mahu perbaiki kelemahan diri,” katanya.

Lagu Starlela ciptaan Hafiz Hamidun ini sudah dilancarkan dalam platform digital dan boleh tonton muzik videonya di saluran YouTube Starvendors.

Bukan kerana simpati

JIKA ditanya soal hubungannya bersama bekas suami, penyanyi kecil molek ini tidak pernah berahsia soal hati dan perasaannya.

 

Bella mengakui tidak mungkin kembali bersama Aliff Aziz buat masa ini kerana apa yang terjadi masih terlalu baru.

“Kami kerap berhubung melalui panggilan video demi Ayden. Saya tidak mahu halang hubungan seorang anak dan ayah. Ayden tidak tahu apa-apa.

“Tidak dinafikan, Aliff memang ada bertanya mahu kembali bersama, namun saya belum memikirkannya. Saya masih cinta Aliff, tetapi saya tidak boleh terima dia kembali atas dasar simpati. Biarlah masa menentukan.

“Saya juga berharap Aliff perbaikilah kesilapannya yang lalu untuk masa depannya. Bukanlah berubah secara drastik tetapi perlahan-lahan berfikir apa yang telah berlaku agar tidak diulang lagi,” katanya.

Bella dan Aliff yang berkahwin pada 9 September 2016 sah bercerai talak satu pada 16 Mei lalu.