Hot FM menerima satu lagi wajah baharu, Zetty Nabila Muhamad Ghazali selepas kehadiran Shuk awal tahun lalu manakala, Kool FM pula akan diwarnai oleh Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad dan Muazanazzudin Mohamed berkuatkuasa hari ini.

Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim berkata, pemantapan barisan bagi kedua-dua stesen ini adalah jelas dengan misi untuk sentiasa tampil dengan pembaharuan serta perubahan yang terkini.

“Malah penyertaan penyampai-penyampai ini sesuai dengan visi untuk menjadi jenama dengan fokus utama dari segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini,” katanya.

Tambahnya, Zetty Nabila atau lebih dikenali sebagai Zetty merupakan bekas anggota Hot FM Honda Jazz Zoomerz sejak 2012 dan turut bertugas sebagai penyampai radio sambilan di stesen itu sejak dua tahun lalu.

“Kehadiran Zetty di Hot FM adalah berikutan dengan perpindahan Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad atau Rea dari Hot FM ke Kool FM. Sementara Muazanazzudin yang lebih sinonim dengan panggilan Muaz adalah bekas penyampai radio di salah sebuah radio tempatan yang mempunyai pengaruh yang tidak kurang hebatnya,” katanya.

Anida berkata, seiring dengan Hot FM yang kini menjangkau usia 11 tahun operasi pada 6 Februari dan Kool FM yang bakal menyambut tahun pertama operasi pada 1 Mac nanti, barisan baharu ini bakal memperkukuhkan kedua-dua jenama tersebut di dalam industri penyiaran radio negara.

“Kehadiran wajah-wajah baharu dan segar dijangka akan dapat menjadikan Hot FM dan Kool FM sentiasa menjadi pilihan pendengar masyarakat masa kini,” katanya.

Untuk informasi lanjut, pendengar boleh melayari laman web serta laman sosial media rasmi kedua-dua stesen tersebut;

Hot FM di www.hotfm.com.my dan Facebook/Instagram/Twitter : hotfm976

Kool FM di www.koolfm.com.my, Facebook : Kool FM Instagram/Twitter :koolfmmy