VjQyZkBj

BADRUL ISA

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Konsert Reunion Exists yang akan berlangsung di Shah Alam pada 28 September ini dan 5 Oktober depan di Singapura akan berjalan seperti biasa di sebalik laporan penahanan vokalis utama Exists, Mamat oleh polis di Johor Bahru, semalam.

Menerusi kenyataan bersama oleh Shiraz Projects dan Reunion Exists, setakat ini kedua-dua pihak masih menunggu perkembangan terkini berhubung kejadian tersebut.

Kedua-dua pihak menyifatkan berita penahanan itu sebagai amat mengejut dan menyedihkan lebih-lebih lagi menjelang hari penganjuran konsert.

"Ketika ini, pihak kami menerima banyak mesej dan panggilan bertanyakan status konsert yang sudah dirancang itu. Paling banyak yang bertanya adalah peminat - peminat Exists Reunion yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan.

Kami memahami sentimen yang sedang bermain di fikiran peminat-peminat Exists Reunion. Sebagai menjawab tanda tanya itu, apa yang boleh dikatakan ialah, terlalu awal untuk kita semua membuat keputusan.

"Namun begitu, sehingga ke saat ini, konsert yang dirancang akan berjalan seperti biasa dan kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut ketetapan," katanya hari ini.

Sementara itu, satu pertemuan dan perbincangan akan diadakan di antara pihak Shiraz Projects dengan anggota Exists yang lain bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan terhadap kes yang melanda Mamat.

“Sememangnya kami di Exists Reunion mahukan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Ini satu ujian awal untuk kami dan berharap para peminat akan terus mendoakan yang terbaik untuk Exists Reunion.

"Dari semasa ke semasa, Shiraz Projects akan berkongsi perkembangan terbaharu mengenai penganjuran konsert Exists Reunion. Kami amat menghargai kebimbangan, keprihatinan dan kerjasama semua pihak terutamanya penyokong Exists Reunion dan rakan-rakan media," katanya.-UTUSAN ONLINE