Marsha mengakui, daripada seorang yang tidak mengenali dan menyukai barangan kemas, selepas melepasi satu tahap di dalam kehidupannya, beliau lebih mengenali dan menyukai barangan kemas.

Kata Marsha, bukan kerana beliau dilantik sebagai Duta De Lunaria, barulah dirinya menyukai barangan perhiasan 916 itu tetapi selepas bermentuakan campuran Pulau Pinang dan Kedah, hatinya lebih terbuka untuk mengetahui tentang emas dan barangan kemas.

“Semasa dulu-dulu memang saya tidak berapa meminati emas dan barangan kemas dan secara jujurnya, saya baharu tahu tentang emas 916.

“Bagaimanapun, pelantikan saya sebagai Duta De Lunaria merupakan satu penghargaan bagi diri saya dan tidak kisahlah untuk tempoh tiga bulan sebagai duta.

“Asalkan saya dapat sama-sama terlibat dalam mempromosikan barangan kemas De Lunaria terutamanya dalam kalangan rakyat di Sabah, pelantikan ini sekali gus mendekatkan lagi diri saya dengan orang kampung,” kata anak kelahiran negeri di bawah bayu usai majlis sidang akhbar mengumumkan dirinya sebagai Duta De Lunaria.

Terdahulu, dalam majlis sidang akhbar, wakil De Lunaria, Syed Hashim Al-Habsshee berkata, pelantikan Marsha sebagai duta bagi De Lunaria dibuat oleh pihak pengurusan selepas mengambil kira banyak faktor termasuk imej artis berkenaan.

“Kita yakin pengambilan Marsha yang mempunyai kekuatan sebagai artis dari Sabah, dapat meningkatkan lagi jualan koleksi barang kemas De Lunaria khususnya untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.

Kata Syed Hashim lagi, tidak timbul soal tempoh pelantikan Marsha sebagai duta De Lunaria terlalu singkat kerana pihak pengurusan De Lunaria mempunyai perancangan jangka panjang.

“Kita tengok dahulu jalinan kerjasama dengan Marsha. Untuk tiga bulan ini adalah sebagai tempoh untuk membina platform De Lunaria dalam usaha mengembangkan jenama barangan kemas 916 dan koleksinya kepada pelanggan berpotensi di luar sana.

“Jadi, dalam perancangan kami, ada dirangka sesi jelajah Sabah, Sarawak dan negeri-negeri tertentu untuk memperkenalkan De Lunaria,” katanya sambil menambah, wajah-wajah Marsha akan digunakan di platform media sosial, dalam talian dan secara off line, wajah Marsha sebagai Duta De Lunaria akan terpampang pada banner dan bunting.

Tambah Syed Hashim lagi, De Lunaria merupakan perintis kepada penjualan barangan kemas secara dalam talian kerana De Lunaria tidak mempunyai kiosk atau kedai emas secara fizikal.

Namun begitu, kata Syed Hashim, orang ramai tidak perlu khuatir untuk membeli barangan kemas secara dalam talian kerana De Lunaria sudah mengambil kira risiko penghantaran.

“Sepanjang tiga tahun De Lunaria membuka perniagaan dalam talian, tidak pernah berlaku pakej penghantaran hilang dan insya-Allah, syarikat penghantaran yang dipilih adalah syarikat perkhidmatan penghantaran yang berwibawa dan boleh dipercayai,” ujarnya.

Walaupun kaedah perniagaan yang dijalankan oleh De Lunaria adalah dalam talian, kata Syed Hashim, sekiranya barangan kemas yang diterima rosak, mereka boleh segera menghubungi De Lunaria untuk penukaran. - UTUSAN ONLINE