Lima jenis barang kemas yang dipilih penyanyi itu terdiri daripada dua butir berlian dan tiga bentuk cincin termasuk satu cincin lelaki.

Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman dalam satu sidang akhbar berkata, dia berbesar hati memenuhi permintaan Aishah atas persetujuannya sendiri.

“Hari ini adalah hari terakhir untuk menyerahkan barangan ini kepada Aishah.

“Barang kemas ini dipilih oleh Aishah sendiri dan peguam saya akan menyerahkan kepadanya petang ini di kedai emas yang telah dipilih memandangkan pihaknya mahu memeriksa kembali ketulenan barangan yang dibeli ini,” katanya.

VIDA
 

Vida ditemui di sidang akhbar penyerahan barang kemas kepada Aishah di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi.

Menerusi sidang akhbar tersebut, Vida mencipta drama memasukkan dua batu berlian 1 karat potongan bulat bernilai RM 27,100 dan 0.70 karat berlian potongan `puteri’ bernilai RM12,920 ke balang makanan ringan produk miliknya.

Selain berlian, Vida turut menunjukkan tiga cincin berlian berwarna emas kekuningan bernilai RM20,820, cincin emas putih (RM11,410) dan emas putih `mounting’ (RM7,750).

Sementara itu, Vida berharap penyerahan barangan tersebut dapat menamatkan kemelut yang berlangsung selama setahun setengah sehingga memberi kesan kepada empayar perniagaannya.

“Saya harap penyerahan barang kemas ini akan menamatkan semua kemelut dan isu yang melanda.

“Kalau saya jumpa dia (Aishah) pun lepas ni tak ada masalah, saya boleh tanya macam mana berlian?

VIDA
 

“Tidak dinafikan perniagaan saya juga turut terkesan sehingga mengalami kerugian hampir 80 peratus setiap bulan,” jelasnya.

Terdahulu, pada sidang media 6 Julai lalu, Vida turut membuat permohonan maaf kepada Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 54.

Dalam sidang akhbar permohonan maaf itu, anaknya Cik B atau Edlynn Zamileen Muhammmad Amin, 14, tiba-tiba muncul dalam sidang media menyerahkan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada ibunya bagi membayar ganti rugi tersebut. - UTUSAN ONLINE