Mengakui peranan media dalam membantu menaikkan kerjaya anak seni cukup besar dalam industri tempatan, justeru pelaku seni tidak mahu medium tersebut ditelan arus pemodenan.

Tidak terkecuali, artis muda seperti Wani Kayrie, Reen Rahim dan Izzue Islam turut menyambut baik usaha yang dilihat mampu menarik lebih ramai pembaca.

Menerusi Utusan Online bermula 1 September ini, pembaca boleh melanggan kandungan berita dan program eksklusif menerusi beberapa program video menarik hanya dengan RM100 untuk empat bulan langganan.

Namun dalam masa yg sama Utusan Online masih memberikan berita semasa secara percuma seperti yang boleh dilayari sebelum ini.

Bagi terus mengukuhkan kedudukan selaku peneraju kandungan utama di Malaysia, Utusan Online melalui saluran Upster menawarkan sebuah lagi pilihan kandungan hiburan berkualiti menerusi program infotainment terbaharu Neo Jam dan Let’s Bawang.

Neo Jam menyediakan platform kepada selebriti tempatan untuk mempromosikan lagu terbaharu mereka dalam sebuah rancangan temu bual santai.

Selain memberi peluang kepada penyanyi untuk membuat promosi karya terbaharu mereka, rancangan ini turut membincangkan perkembangan terkini selebriti jemputan.

Dua segmen selingan iaitu Neo Challenge dan Akustik Neo Jam turut mengisi keseluruhan program.

Dalam segmen Neo Challenge, penonton akan dapat mengetahui jawapan jujur selebriti ketika ditanya soalan-soalan spontan.

Segmen Akustik Neo Jam pula mengetengahkan persembahan nyanyian secara akustik penyanyi jemputan pada setiap episod dengan diiringi gitaris selain single terbaharu mereka

Menerusi segmen temubual, selebriti jemputan akan berkongsi tentang perkembangan terkini mereka serta bual santai tentang dunia muzik tanah air.

Antara selebriti yang menggegarkan Neo Jam adalah Sarah Suhairi, Usop, Indah Ruhaila, Harris Baba, Amir Hasan, Syafiq Farhain dan ramai lagi.

Selain Neo Jam, program menarik lain yang diterbitkan Upster Utusan Online adalah Mastika Urban Lejen, Let’s Bawang, Sembang Gila Iqram, Akustika Legenda, Me Time selain berita Koresponden Global dan beberapa kolumnis popular tanah air.

Let’s Bawang

Tampil dengan topik berbeza, Let’s Bawang adalah program berbentuk bual bicara ini yang mengambil kira pandangan warganet.

Berkonsepkan santai tetapi bernas, Let’s Bawang tidak sekadar mencari jalan persetujuan yang dikemukakan penggiat industri.

Tetapi bagaimana untuk pihak mereka sendiri menerima pandangan yang dikeluarkan peminat industri tempatan yang selama ini menjadi tulang belakang kepada produk seni tempatan.

Sudah ditayangkan bermula Ogos lalu, antara topik yang dibincangkan Drama Sampah, Popular Vs Sendu, Artis Cerai Trend? dan banyak lagi.

Let’s Bawang yang dikendalikan dua wartawan berpengalaman Farol dan Kekda ini juga membuka peluang buat penonton di luar sana terus berkongsi pendapat berhubung isu semasa dunia hiburan.

WANI KAYRIE

“Setiap kali baca surat khabar, saya suka menyelak bahagian hiburan, jenayah dan isu-isu semasa yang berlaku dalam dan luar negara.

“Daripada kita sibuk dengan laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter, rasanya tak rugi kalau luangkan masa untuk baca berita semasa di Utusan Online.

“Sekurang-kurangnya kita tidak ketinggalan untuk mengetahui berita-berita terkini. Seiring pula dengan perkembangan teknologi masa kini, eloklah kiranya kita gunakan medium itu dengan sebaiknya,” katanya.

IZZUE ISLAM

Pelakon, penyanyi dan pengacara Izzue Islam adalah antara artis yang sering membeli akhbar Utusan Malaysia.

“Walaupun sekarang ramai yang membaca berita melalui dalam talian, saya tidak ketinggalan untuk terus membeli akhbar Utusan sebagai sumber berita harian.

“Bagi saya, akhbar antara media yang terbukti dipercayai kesahihannya. Penulisan di akhbar lebih diyakini kerana ia menjalani proses yang begitu teliti. Banyak tapisannya sebelum dicetak.

“Kepercayaan orang ramai terhadap akhbar ini menyebabkan ianya kekal diedarkan sehingga ke hari ini.

“Andai kata saya tidak sempat membeli akhbar, saya juga selalu baca berita terutamanya hiburan dan isu terkini di Utusan Online.

“Bukan apa, Utusan Online antara sumber berita yang boleh dipercayai daripada blog-blog yang kadang-kadang tidak sahih kisahnya,” ujar Izzue Islam lagi.