Ini diakui sendiri oleh pelakon dan pelawak Ebby Yus, 54, yang sudah lama mendekati pelajar-pelajar Pusat Tahfiz Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ), Tanjung Karang, Selangor.

Ebby melihat langkah mendekati al-Quran adalah paling bagus untuk mendidik jiwa remaja.

EBBY YUS bersama Dr. Mohd. Ashraf Suarin di PMHQ Tanjung Karang, Selangor.
EBBY YUS bersama Dr. Mohd. Ashraf Suarin di PMHQ Tanjung Karang, Selangor.

“Kita sendiri lihat bagaimana masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin menjadi-jadi, malah ada kes yang tidak terjangkau dek akal fikiran. Jadi, mahu atau tidak kita perlu berbalik kepada al-Quran yang menjadi pengubat kepada hati dan peningkatan iman.

“Saya tahu ramai ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke pusat tahfiz kerana bimbang akan ketinggalan dalam akademik. Mereka risau jika anak tidak menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sukar untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

“Padahal ramai tidak tahu pelajar tahfiz mengambil SPM selepas tamat pembelajaran al-Quran,” kata Ebby.

Baginya, dalam apa jua kehidupan yang dilalui, utamakanlah al-Quran dalam diri setiap insan terutama pada peringkat usia muda.

“Tiada ertinya pandai akademik kalau al-Quran ditinggalkan. Apalah bagusnya akademik yang dicapai kalau jiwa anak tidak tenang yang membawa mereka kepada masalah sosial.

“Saya melihat sesetengah ibu bapa lebih suka menghantar anak-anak ke pusat tahfiz selepas anak mereka bermasalah, dengan harapan agar jiwa mereka lebih lembut apabila mendekati al –Quran.

“Sepatutnya sebelum terlibat dengan masalah lagi mereka perlu dididik dengan al-Quran. Tidak rugi menghantar anak belajar al-Quran kerana selepas itu mereka pastinya akan bagus dalam akademik kerana teknik pembelajaran di tahfiz boleh diaplikasikan dalam akademik,” jelas Ebby yang sejak awal menyokong penubuhan PMHQ yang diasaskan oleh Dr. Mohd. Ashraf Suarin kerana mendekati setiap pelajar tahfiz di situ memberi ketenangan kepada dirinya.

“Mereka sangat beruntung kerana berpeluang belajar al-Quran dalam usia muda. Inilah langkah yang akan membawa mereka berjaya di dunia dan akhirat.

“Jadi saya sendiri rasa terpanggil untuk membantu pusat tahfiz ini dalam menambah dana bagi melancarkan perjalanan operasi. Ini secara tidak langsung memberi keselesaan kepada para pelajar untuk meningkatkan mutu pembelajaran al-Quran,” kata Ebby yang mengenali PMHQ sejak enam tahun lalu.

Pandai akademik, tak tahu solat – Mohd. Ashraf

Pandangan ibu bapa yang menganggap anak-anak di pusat tahfiz tiada masa depan adalah salah sama sekali.

Bagi Pengetua PMHQ, Dr. Mohd. Ashraf Suarin, 37, segala-galanya bermula dari al-Quran yang boleh membentuk insan yang berjaya.

“Ada ibu bapa yang menganggap anak tiada masa depan jika belajar di pusat tahfiz dan melebihkan soal akademik. Namun, masih ramai ibu bapa yang meletakkan agama dan al-Quran itu sebagai keutamaan hidup.

“Kesedaran ini semakin meningkat apabila ramai anak yang pandai akademik tapi tidak pandai membaca al-Quran. Lebih sedih ada yang tidak tahu solat langsung,” jelas Mohd. Ashraf.

Katanya, kebiasaannya apabila menerima pelajar baharu, beliau memastikan sama ada anak-anak tersebut dihantar secara sukarela atau paksaan.

“Kadang-kadang mereka hantar anak ke pusat tahfiz kerana mahu lepaskan tanggungjawab dalam mendidik. Situasi ini tidak harus berlaku,” jelas Mohd.Ashraf yang juga penceramah bertauliah selain aktif menyebarkan dakwah menerusi radio dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan, jurulatih modal insan dan pembimbing haji serta umrah.