Segmen ini boleh dilayari bermula esok.

Upster bakal memberi dimensi baharu dan berlainan buat pembaca setia Utusan Online selain memberi peluang kepada mereka meneroka segmen baharu dalam memenuhi tuntutan generasi moden tanpa meminggirkan kelompok pembaca lain.

Apa yang disajikan melalui Upster pastinya bukan berita-berita klise kerana ia gabungan gaya hidup berorentasikan teks, foto dan video selain memaparkan kandungan baharu yang lebih segar.

Platform paling relevan untuk anak muda ini turut berkongsi tiga senario paling penting dalam gaya hidup harian mereka iaitu perkongsian maklumat dalam penulisan yang berkisar tentang gaya hidup dan jati diri melalui foto serta membina kandungan (content creator) dalam pelbagai genre video.

Paling menarik, Upster memiliki koresponden antarabangsa yang boleh dihubungi menerusi laman sosial Instagram dan menggunakan 1,001 rakyat di 101 kota besar dunia.

Melalui perkongsian Instagram koresponden ini, pelayar Upster di Utusan Online boleh mengikuti perkembangan gaya hidup mereka yang bermastautin di Paris, New York, Sepanyol, Poland, India, China, Korea, Indiana, Jerman, Jepun, Moscow, Barcelona, New Zealand dan banyak lagi.

Perkongsian empat berita seminggu dari 101 Instagram koresponden di seluruh dunia menjadikan Upster satu-satunya kombinasi media arus perdana yang berinteraksi langsung dengan pemain sosial.

Pelbagai kisah menarik bakal dipaparkan oleh mereka dan dapat dibaca secara langsung oleh semua. Ia tentang kesukaran dan keseronokan mengembara dan bermastautin di negara orang diceritakan secara langsung dari semasa ke semasa.

Ada yang gembira tak kurang juga yang ‘sengsara’ saat menjejakkan kaki ke negara orang yang pastinya menjadi inspirasi kepada semua.

Tidak cukup dengan itu, Upster juga menyajikan beberapa tulisan kolumnis popular termasuk Umar Uzair yang juga merupakan penggiat sastera muda tanah air.

Penyanyi Diddy Hirdy yang sedang menyambung pengajian doktor falsafah di Universirty of Liverpool juga akan menulis selain video khas oleh Instafamous terkenal, Faizdickie yang terkenal dengan watak Kak Leha Bunting.

Lebih menarik, Upster turut bekerjasama dengan 20 YouTubers muda Malaysia untuk berkongsi kandungan mereka dalam formula video parodi, Do It Yourself (DIY), filem pendek dan lagu nyanyian semula (cover version) serta gaya hidup sihat.

Upster turut memberikan beberapa video tutorial solekan dan pemakaian tudung yang sangat digemari oleh gadis muda yang mengikut trend terkini.

Sekali lagi Upster memberi ruang kepada semua anak muda yang berminat dengan kandungan digital untuk berkongsi aliran trafik dengan lima juta pelayar tetap Utusan Online.

Upster juga berkolaborasi dengan lebih 40 Instafamous seluruh negara untuk berkongsi bahan siaran mereka yang mempunyai tema gaya hidup urban, stailo, fesyen, muzikal dan pengembaraan

Jom layari www.upster.utusan.com.my.