Menurut pelakon drama Curi-Curi Cinta ini, hatinya terpaut dengan Zahirah yang mempunyai karektor matang dan sifat bertanggungjawab yang tidak ada pada wanita yang dekat dengannya selama ini.

“Hubungan cinta kami sangat pantas dan dipermudahkan sejak berkenalan kali pertama pada November tahun lepas. Restu keluarga kedua-dua belah antara punca hubungan ini lancar.

“Jadi kami sepakat untuk membawa hubungan ke peringkat seterusnya.

“ Alhamdulillah, kini kami sedang bahagia melangkah setapak lagi hidup sebagai satu keluarga,” kata Aiman.

Selepas dua bulan mengikat tali pertunangan, akhirnya pasangan pelakon Aiman dan Zahirah mengumumkan perkahwinan mereka bakal berlangsung Februari tahun depan.

Kata pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini, pemilihan pada bulan tersebut di atas dasar bulan kelahiran Zahirah selain membuat persiapan mencukupi menjelang hari bahagia mereka.

“Kita tak mengimpikan gelaran Wedding Of The Year. Cukuplah jika perkahwinan itu berjalan lancar dan dapat membahagian kedua-dua pihak keluarga,” ujarnya lagi.

Aiman dan Zahirah mengumumkan berita perkahwinannya dalam sebuah sesi majlis yang diadakan di kafeteria miliknya, Bakersfellas di Ara Damansara hari ini.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan dalam majlis tertutup di kediaman keluarga Zahirah di Perth, Australia pada 8 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE