Menjelaskan keputusan untuk diurus suami itu adalah ideanya sendiri, selepas hampir dua tahun bukan sahaja dia tetapi suaminya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik turut selesa dengan keadaan tersebut.

INDAH RUHAILA
INDAH RUHAILA

Malah, dalam waktu yang sama ini adalah cara untuk mereka meluangkan masa sebagai suami isteri.

“Ada yang kata saya dikawal suami. Jujurnya selepas berkahwin memang saya minta dia uruskan jadual kerjaya saya. Sebab pada saya lebih mudah memandangkan kami memang bersama.

“Memang tidak dinafikan berada di bawah syarikat pengurusan lebih sistematik. Apapun dalam keadaan sekarang saya tidak boleh nafikan lebih mudah untuk menguruskan sendiri semua hal kerjaya memandangkan saya mendapat bantuan daripada suami,” kata Indah.

Melihat pandangan orang sebagai satu lagi cabaran untuk mereka berdua, kata Indah, apabila diuruskan suami bukan bermakna si suami bergantung kepada pendapatan kerjayanya.

“Saya tidak perlu jelaskan kepada orang luar tentang siapa suami saya. Cukup saya katakan yang dia juga mempunyai kerjaya berbeza. Malah, dia bukan selalu berada bersama saya. Jika dia ada urusan lain saya akan minta kawan temankan.

“Cuma saya tidak nafikan bila adanya suami, semua perkara lebih mudah.

“Sebenarnya pada peringkat awal ia bukan perkara mudah sebab suami tidak faham dengan jadual kerjaya saya. Memang ada juga adegan `naik angin’ sebab dia melihat saya terpaksa menunggu lama dalam sesetengah keadaan.

“Tetapi bila sudah lama dengan saya, dia akhirnya faham dan sekarang perjalanan karier saya juga lebih mudah sebab dia seorang yang cepat belajar,” tambahnya.

Tidak mahu berselindung memberitahu dia dan suami sedang menunggu waktu yang sesuai untuk menambah ahli keluarga. Jelas Indah, dengan kekangan jadual promosi untuk lagu Pudar, tahun hadapan dia lebih bersedia untuk bergelar seorang ibu.

“Memang saya mahu anak. Dalam umur saya sekarang memang sesuai untuk menimang cahaya mata.

“Tetapi buat masa sekarang saya dan suami merancang mendapatkan anak selepas selesai urusan promosi lagu.

“Ikutkan tahun hadapan adalah waktu yang sesuai. Saya harap dipermudahkan urusan kami nanti,” katanya.

Sementara itu bercakap mengenai lagu Pudar yang kini mendapat perhatian ramai, Indah tidak mahu menolak yang lagu tersebut masih belum mampu membantu namanya untuk berada pada aras berbeza.

“Saya tidak kecewa bila hanya lagu ini diterima dengan baik, tetapi bukan nama saya.

“Dalam keadaan sekarang saya perlu terima yang peminat lebih memilih artis lebih muda.

“Apa yang penting untuk saya ialah menyampaikan lagu-lagu yang baik dan diterima pula dengan baik oleh peminat muzik di luar sana,” jelasnya dalam nada yang cukup positif.