Membuktikan kepada umum bahawa tiada sebarang masalah besar yang menimpa mereka, sama ada Awi mahupun Atikah masing-masing berjaya membuktikan bahawa mereka boleh berkawan baik walaupun sudah tiada lagi hubungan cinta.

“Kami berpisah cara yang betul, jadi saya ambil ia sebagai satu yang positif. Apa yang boleh saya kata, Atikah adalah seorang wanita yang sangat baik. Apa yang berlaku pada kami sebelum ini adalah takdir dan tiada jodoh bukan sebab curang atau apa-apa perkara yang buruk.

AWI RAFAEL

“Saya selalu ingatkan diri saya dan dia bahawa Allah sudah rancang apa yang berlaku pada kami dan saya harap dia juga kuat. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk dia,” luah Awi yang turut menghasilkan lagu buat Atikah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Bertanya adakah hubungan yang baik ini boleh diteruskan dan apa yang dirancang dahulu berkemungkinan akan menjadi semula, jelas Awi dia tidak berasakan perkara itu akan terjadi.

“Selepas peristiwa itu, saya jarang hubungi Atikah dan tidak berapa pasti dengan perkembangannya sekarang. Apa yang saya tahu dia juga bahagia menjalani kehidupannya.

“Bila sudah putus, saya rasa biarlah hubungan kekal begini dan kami akan saling melindungi sebagai seorang kawan sahaja,” jelas Awi.

Awi dan Atikah sebelum ini merancang melangsungkan pernikahan pada 17 Mac lalu, namun secara tiba-tiba dibatalkan di saat akhir kerana masalah dalaman keluarga.

Melihat pada hubungan cinta yang kerap kali tidak menjadi, Awi mengambil pengajaran dalam setiap kisah hidupnya itu.

“Apa yang saya teladani adalah terus mencari dan jangan putus asa. Kita hanya mencuba tetapi Allah yang akan menentukan segala-galanya,” jelas Awi.

Bercerita soal perkembangan terbaru, menurut Awi, dia kini sibuk menguruskan akademi muzik yang dijalankan bersama pelakon popular, Aiman Hakim Redza.

Biarpun masih pada peringkat awal perbincangan, namun Awi meluahkan hasrat besarnya untuk menjadikan akademi itu sebagai satu saluran untuknya melakukan amal kebajikan.

“Setahun yang lalu saya ada kongsi pengalaman bersama Aiman dan kami sama-sama setuju untuk tubuhkan Bakers Fellas Cafe iaitu sebuah restoran yang turut menyediakan sebuah studio muzik khas buat kanak-kanak belajar muzik.

“Saya lakukannya setelah merasai sendiri pengalaman semasa kecil apabila ingin belajar muzik, namun tiada kemampuan.

“Akademi ini akan dilancarkan tidak lama lagi, namun untuk Ramadan ini saya akan bawa kanak-kanak autisme secara percuma bagi mendapatkan terapi muzik di studio ini,” jelas Awi.