Bijak membawa diri dan sentiasa memperbaiki mutu lakonan dari masa ke masa, Reen dilihat berjaya mempertahankan kewujudannya dalam industri ini biarpun ribuan pelakon baharu muncul untuk menggantikan bakatnya.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan biarpun tidaklah terlalu mewah, namun tidak pernah putus. Saya gembira bila ada watak-watak saya yang diterima dan kekal dalam ingatan peminat. Sekurang-kurangnya orang kenal siapa Reen Rahim.

Reen Rahim

“Untuk capai anugerah yang besar memang perlu kesabaran dan usaha yang kuat. Setiap hari saya berusaha untuk perbaiki mutu lakonan, mencuba apa sahaja watak supaya tidak nampak terlalu stereotaip. Jika ada rezeki, insya-Allah bakat saya akan dihargai melalui anugerah,”ujarnya.

Dikatakan sedikit seksi dalam berpakaian, Reen enggan menyentuh soal itu.

Namun, Reen berterima kasih kepada setiap peminat yang memberikan kritikan kepadanya.

“Ada dua jenis warganet yang akan komen, kebiasaannya yang sopan mereka akan mesej secara peribadi dengan kata-kata yang lembut manakala satu lagi akan terus komen melulu dengan kata-kata yang kasar dalam ruangan komen media sosial.

“Tapi saya tak kisah, mereka ada hak untuk menilai dan menegur. Saya doakan yang baik-baik buat mereka. Kepada yang mesej secara peribadi saya sangat hargai nasihat mereka berikan manakala yang berkata kasar, saya doakan mereka sentiasa dalam keadaan tenang supaya selepas ini mereka boleh meluahkan rasa dengan lebih sopan,” luah Reen jujur.

Selain itu, Reen juga meluahkan rasa bahagia apabila dapat berbakti kepada kedua ibu bapanya biarpun ada kalanya dia sendiri sibuk di lokasi penggambaran.

“Ramai rakan sebaya yang sudah mendirikan rumah tangga. Melihat situasi itu saya rasa tenang sahaja, tak gusar atau terburu-buru nak ikut langkah mereka. Saya rasa masa bujang inilah masa yang sesuai untuk saya berbakti kepada orang tua.

“Hubungan saya dengan kekasih masih dalam proses mengenali tapi tiada masalah untuk kami menamatkan zaman bujang.

“Namun, kerana kami sibuk dengan kerjaya masing-masing dan dia pula bekerja di luar negara, maka kami tidak memikirkan dahulu soal berumah tangga. Bila jodoh sampai, berkahwinlah nanti,” jelas Reen tenang.