Bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini, ia turut menjejaskan kualiti hidup 17 peratus orang dewasa di seluruh dunia.

Menurut Ketua dan Perunding Kanan Jabatan Urologi, Hospital Besar Sarawak, Dr. Teh Guan Chou, OAB menyebabkan seseorang itu perlu ke tandas berulang kali dalam tempoh yang singkat dan terdapat kes yang lebih serius mengakibatkan penghidapnya tidak dapat mengawal air kencing mereka.

“Biasanya apabila air kencing telah mula memenuhi pundi kencing, mesej akan disampaikan pada otak dan kita akan mula merasa keadaan tidak selesa. Bagi orang yang normal, mereka boleh bertahan dalam suatu tempoh sehingga pundi kencing benar-benar penuh apabila otot pundi detrusor akan meregang untuk menakung lebihan air kencing. Pundi kencing hanya akan dikosongkan apabila seseorang terasa hendak membuang air kecil.

“Saluran pundi kencing dan otot pelvik akan mengendur bagi membolehkan air kencing keluar. Pundi kencing biasanya perlu dikosongkan empat hingga tujuh kali sehari dan sekali pada waktu malam.

“Namun, bagi penghidap OAB pula mereka menerima rangsangan daripada pundi kencing terlalu cepat walaupun pundi kencing masih tidak penuh. Pundi kencing penghidapnya akan mengecut secara tidak sedar yang boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa sebarang amaran. Keadaan ini menyebabkan mereka terlalu kerap membuang air kecil,” katanya dalam satu perkongsian mengenai OAB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujarnya, OAB boleh dikenal pasti melalui tiga simptom iaitu keperluan segera dan tidak mampu untuk bertahan membuang air kecil, terlalu kerap pergi ke tandas pada waktu siang melebihi tujuh kali dan bangun lebih dari sekali pada waktu malam untuk ke tandas.

Dalam kes yang lebih serius, penghidap boleh mengalami ketirisan air kencing di luar kawalan dan mereka mungkin perlu memakai pad atau lampin perlindungan untuk mengelakkan situasi yang memalukan.

Tambahnya, OAB juga boleh berlaku kepada semua golongan lelaki dan wanita namun peningkatan usia meningkatkan lagi risiko kepada penyakit ini.

Mereka yang mengalami obesiti juga berpotensi untuk mendapat masalah yang sama selain yang berpenyakit neurologi.

Dalam kalangan wanita, hampir 45 peratus menghidap OAB kerana faktor seperti menopaus, merokok, melahirkan anak atau masalah pada bahagian pelvik.

Lelaki pula boleh mendapat masalah yang sama jika mereka adalah penghidap prostatitis dan pernah melakukan pembedahan prostat.

Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

KATA Dr. Teh Guan Chou, kajian menunjukkan kebanyakan penghidap masalah ini terdiri dalam golongan profesional yang bekerja dan mereka yang berpendapatan tinggi, biarpun belum tahu puncanya secara tepat mengapa ini berlaku.

“OAB akan mempengaruhi aspek fizikal, emosi, pekerjaan, dan seksual dalam kehidupan harian. Kualiti hidup mereka terjejas akibat hilang keyakinan diri, kemurungan, menyisihkan diri daripada masyarakat dan tidur yang kurang lena. Tanpa pengurusan yang sewajarnya, secara tidak langsung OAB akan menyebabkan gangguan psikologi kepada penghidapnya,” kata Guan Chou.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan penghidap merasakan tiada rawatan yang mampu membantu masalah tersebut menyebabkan mereka hanya membiarkannya berlaku. Walaupun OAB banyak berlaku kepada lelaki namun golongan ini kurang mengambil tindakan berbanding wanita.

Rasa malu, rendah diri dan sentiasa menyalahkan diri menjadi sebab utama mereka lambat mendapatkan rawatan doktor atau langsung tidak mendapatkan rawatan sedangkan tujuan utama rawatan adalah untuk memperbaiki kualiti kehidupan penghidap.

Rawatan merangkumi perubahan gaya hidup, rawatan perubatan atau kedua-duanya sekali bergantung kepada keadaan penghidap.

“Doktor boleh melakukan perubahan kepada gaya hidup pesakit dengan memantau jumlah cecair yang diminum atau menyekat pengambilannya jika perlu. Pengambilan kafein juga perlu dikurangkan kerana kafein menyebabkan dehidrasi.

“Jika penghidap mempunyai berat badan berlebihan, mereka juga disarankan untuk menurunkan berat,”ujarnya.

Tingkah laku penghidap juga dipantau oleh doktor. Mereka akan diminta untuk menahan kencing dengan lebih lama sebagai latihan dan ‘diari pundi’ juga diberi bagi memantau kekerapan membuang air kecil pesakit.

Katanya, ada sesetengah pesakit disarankan untuk menjalani latihan fisioterapi bagi menguatkan otot lantai pelvik mereka dan ada juga diberi terapi antimuskarinik yang boleh menyekat pengecutan pundi kencing di luar kawalan dengan menghalang reseptor muskarinik di dalam pundi.