Namun, ramai peminat mula memberi reaksi positif apabila Iq Dinzly perlahan-lahan mengubah penampilannya kembali kepada personaliti asal. Tidak kurang juga yang memuji Iq kelihatan lebih kacak dengan penampilan terkini.

“Sepertimana yang pernah saya katakan sebelum ini, beri peluang kepada orang untuk berubah dengan menadah doa, bukan menghentam tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

 

Dengan doa, segalanya boleh berubah tepat pada masanya.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana mereka yang mengutuk saya selama ini banyak membantu saya mengumpul pahala untuk bekalan akhirat. Terima kasih beri saya pahala.

“Saya menganggap segala kecaman mereka juga membantu saya dalam mengenal diri dan Allah tanpa perlu berhadapan atau bersemuka dengan mereka. Secara tidak langsung, saya menimba banyak ilmu agama dan psikologi dalam hidup.

“Dalam masa yang sama, ia menguji sejauh mana kecekalan hati saya apabila menerima tohmahan serta kejian orang yang berasakan diri mereka sempurna,” kata Iq membuka bicara.

Malah katanya, kecaman warganet sekali gus membuatkan dia lebih memahami situasi orang sakit mental yang sebenarnya dialami oleh ramai rakyat Malaysia tanpa disedari mereka.

“Saya sentiasa percaya bahawa aturan Allah itu adalah yang terbaik buat hamba-Nya. Bukan warganet atau orang di luar sana yang menyusun atur hidup saya. Jadi saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.

“Di kala orang menghamburkan pelbagai kata-kata makian, Allah mengurniakan saya hati yang cekal dan tabah. Saya tidak pernah stres jauh sekali bersedih dengan kecaman orang, malah ia membuatkan saya lebih kuat,” katanya.

Dimensi baharu

Iq Dinzly juga menyatakan dia sedang menuju ke satu fasa yang diberi nama dimensi baharu dalam istilah hidupnya.

Iq yang kini aktif dalam bisnes minuman dan produk yang bakal dilancarkan, mahu memberi manfaat kepada anak-anak muda.

“Saya tidak pernah lupakan dunia lakonan yang sudah menjadi darah daging saya. Dunia itulah yang membawa saya ke masa sekarang. Tanpa dunia lakonan saya tidak ke mana.

“Namun, setiap manusia pasti melalui perubahan hidup mengikut cara masing-masing. Saya sendiri mahu menggunakan nama saya sebagai pelakon untuk terus aktif menjadi usahawan.

“Penglibatan saya dalam bisnes ini juga adalah mahu mendorong anak-anak muda agar lebih memanfaatkan masa dan peluang yang ada. Saya menyeru mereka agar bangun dan bangkit dalam memajukan bidang keusahawanan.

“Bagi mereka yang tidak ada asas bisnes, jangan risau kerana saya pun tiada pengalaman buat bisnes. Ini kerana saya memegang kata-kata ‘from zero to superheroes’ dengan berbekalkan usaha yang tidak jemu,” katanya yang kini terkenal dengan produk makanan Serumbal Ciblis iaitu gabungan serunding, sambal, cili dan ikan bilis resipi ibunya.

Dalam masa yang sama Iq juga sedang merancang beberapa bisnes yang belum boleh diumumkan.

Ditanya tentang lakonan, ini jawabnya: “Ramai peminat yang rindukan lakonan saya. Sejujurnya saya masih berlakon cuma agak cerewet dalam memilih naskhah yang bagus.

“Insya-Allah, ada peluang saya pasti akan menghiasi kaca televisyen anda.”

Sebelum ini Iq Dinzly sudah banyak berlakon drama antaranya Dunia Baru, Cinta Medik, Enigma, Laila Manja, Memori Cinta Suraya dan Bukan Kerana Aku Tak Cinta.