Kemunculan semulanya membuatkan ramai teruja dan mahu tahu apa yang terjadi kepada Linda selama ini.

Namun, apa yang membuatkan Linda berasa kelakar apabila gosip perkahwinannya masih belum padam di hati peminat.

Bayangkan, kontroversi kononnya Linda sudah berkahwin dengan orang kenamaan sudah 15 tahun berlalu.

Meski berulang kali dinafikan oleh Linda, gosip tersebut seperti tidak pernah berakhir.

Sebenarnya ia berpunca apabila Linda hilang tanpa khabar berita pada 2008 menyebabkan ramai yang membuat andaian tentang perkahwinan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, timbul juga andaian Linda sudah bercerai dan lebih selesa tinggal di kampung.

Linda atau nama sebenarnya Norlinda Nanuwil yang tampil semasa sidang akhbar konsert reunion AF2 mengaku sudah lali dengan segala tuduhan dan gosip perkahwinannya.

“Sejujurnya saya rasa lucu pula apabila gosip kahwin sering dikaitkan dengan saya semenjak konsert AF2 lagi. Walaupun sudah beberapa kali saya menafikannya, masih ada yang percaya saya sudah berkahwin dan berada di kampung dan fokus kepada rumah tangga.

“Dalam masa sama, saya juga rasa pelik dan sudah penat untuk menjelaskan kepada semua yang bertanya. Apatah lagi sekarang warganet suka bertanya apa sahaja.

“Nak tahu, ada juga yang mendakwa dirinya hadir ke majlis kahwin saya. Bukan itu sahaja, ada yang menuduh saya sudah bercerai. Entahlah… bila masa saya bercerai sedangkan saya belum pernah berkahwin.

“Di sini saya ingin jelaskan sekali lagi yang saya tidak pernah berkahwin atau bercerai,” kata Linda.

Jelasnya, dia pulang ke kampung pada 2008 dan ada alasan tersendiri menetap di sana dalam tempoh yang lama.

“Saya pulang ke kampung untuk berehat. Namun, sejurus pulang ke kampung, ayah jatuh sakit dan meninggal dunia. Belum habis rasa sedih dengan kehilangan ayah, setahun selepas itu ibu pula sakit dan meninggal dunia.

“Hubungan saya dengan kedua ibu bapa sangat rapat. Jadi, kehilangan mereka berdua berselang waktu yang singkat membuatkan saya hilang semangat. Bukan mudah untuk melupakan kesedihan itu. Malah, sehingga ke hari ini saya masih rindukan mereka.

“Saya memerlukan tempoh yang lama untuk kembali bersemangat. Jadi saya lebih selesa menetap di kampung dan menyanyi seperti biasa. Saya masih memenuhi banyak undangan nyanyian cuma tidak mendapat liputan media,” kata Linda.

Konsert gabungan pelajar AF2

Berita gembira buat semua peminat para peserta AF2 apabila mereka bakal muncul dalam satu konsert yang bakal diadakan pada Ogos ini. Selain Linda Nanuwil, pasti ramai yang rindukan kelibat Adam Aiz, Zahid, Bob, Fitri, Anding, Edlin, Farah, Kaer, Mas, Nurul dan Zarina.

“Memang rasa teruja sangat untuk menjayakan konsert ini bersama teman-teman AF2 selepas 15 tahun berlalu.

“Dalam keterujaan ini saya juga berdebar-debar kerana sudah lama tidak menjayakan acara besar seperti konsert ini. Sudah pasti kami mahu lakukan yang terbaik agar semua peminat yang membeli tiket berpuas hati dengan persembahan nanti.

“Kami adakan konsert ini pun disebabkan permintaan ramai peminat yang mengikuti AF2. Berkemungkinan ini satu-satunya konsert yang menggabungkan kami semua. Kalau tak datang memang rugi,” kata Linda.

Linda berharap kemunculan semula bekas-bekas pelajar AF2 akan menarik ramai penaja untuk bekerjasama.

Bob pula yang mengetuai sidang akhbar tersebut menjanjikan yang terbaik buat semua penaja yang bakal menaja konsert ini.

“Mana-mana konsert pun pasti memperuntukkan bajet besar berbanding persembahan biasa. Kerana itu kami membuat sidang akhbar lebih awal agar ramai yang sedar akan konsert ini.

“Kami juga masih mencari penaja yang berminat untuk bekerjasama. Insya-Allah, setiap penaja pasti akan mendapat pulangan yang berbaloi dengan apa yang mereka laburkan. Itu janji kami.

“Kami mengalu-alukan penajaan dalam bentuk wang ringgit untuk membiayai kos mereka yang terlibat serta keperluan dalam sesebuah konsert. Selain itu, kami juga berbesar hati untuk menerima sebarang tajaan untuk memudahkan lagi perjalanan sebelum dan semasa konsert.

“Dari segi persembahan, kami sudah merancang yang terbaik untuk memuaskan hati semua penonton yang membeli tiket. Kami berharap pada hari konsert nanti kita boleh sama-sama mengimbau kembali kenangan sepanjang berada dalam AF2. Pasti banyak memori yang boleh dikongsikan,” kata Linda.

Jejaka Sabah pilihan hati

Ketika ditemui HITS, terserlah sinar bahagia pada wajah Linda. Maklumlah, Linda kini sedang bahagia dengan kekasihnya yang juga berasal dari Sabah.

“Saya sedang mengenali hati budinya. Dia seorang yang sederhana dan paling penting memahami saya. Kalau boleh saya tak mahu berkongsi lebih tentang dia sehinggalah sampai waktunya nanti.

“Mengenai soal kahwin, buat masa ini kami belum ada perancangan yang serius ke arah itu. Siapa tak nak kahwin kan? Kalau boleh saya mahu berkahwin sebelum umur 40 tahun. Apa-apa pun kerjaya adalah keutamaan saya sekarang,” jelas Linda.

Terharu masih diingati peminat

Walaupun sudah lama tidak mendapat liputan media, Linda mengaku sangat terharu dengan sokongan peminat yang tidak pernah melupakannya.

Buktinya, lagu Jika Kau Kekasih ciptaan Ajai dan Nurul masih segar dalam ingatan peminat sehingga ke hari ini. Itulah ‘ubat’ untuk meredakan rasa rindu peminat terhadapnya.

“Saya akui lagu Jika Kau Kekasih mendapat sambutan hebat. Lagu itu masih disukai peminat walaupun mereka tidak tahu ke mana hilangnya saya. Stesen radio pun selalu memainkan lagu ini dan pernah menjadi lagu tema untuk drama.

“Saya rasa terharu dengan respons peminat yang setia menyokong saya,” ujar Linda.

Bercerita lanjut tentang lagu tersebut, Linda mengakui oleh kerana dia pulang ke kampung halamannya dalam tempoh yang lama, justeru pembikinan video muzik lagu tersebut tergendala dan tidak dapat dilaksanakan hingga ke hari ini.

Demi mengubati rindu peminat, Linda yang pernah membawa watak utama menerusi sekuel filem Gila-Gila Pengantin Popular bersama Erra Fazira dan Nora Danish, akan muncul dengan lagu baharu.

“Sempena kemunculan semula ini, saya tidak akan ‘hilang’ lagi dan akan memberikan yang terbaik. Saya akan muncul dengan single baharu yang belum ada tajuknya. Saya bekerjasama dengan seorang komposer yang tahu muzik sesuai dengan suara saya dan tidak ketinggalan daripada arus muzik sekarang.

“Semuanya masih dalam proses. Jika semuanya berjalan lancar, lagu ini akan menemui peminat dalam masa terdekat. Saya juga rasa berdebar-debar menanti lagu baharu ini yang bakal bersaing dengan lagu penyanyi muda yang hebat-hebat.

“Dengan lahirnya lagu ini nanti, saya akan kerap turun ke Kuala Lumpur untuk memenuhi rangka promosi. Dalam masa yang sama, saya juga lebih aktif menggunakan media sosial kerana mahu atau tidak, ia sudah menjadi sohor kini dan saya tidak boleh ketinggalam mengikutinya,” katanya.