Meskipun pihak SBS sudah memohon maaf, namun Taman Negara Hat Chao Mai, Thailand tetap tegas membawa isu itu ke muka pengadilan.

Justeru, bintang drama My First Love itu berkemungkinan berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, sebilangan masyarakat mendakwa produksi LOTJ telah menjadikan pelakon itu sebagai kambing hitam dalam berdepan dengan isu panas tersebut.

Malah, ada yang berpendapat, sangat tidak masuk akal kerana dalam episod itu Yeol Eum dengan mudah membawa kerang raksasa itu naik ke darat.

Sebelum ini pernah berlaku insiden di mana penyelam scuba profesional kehilangan nyawa gara-gara terlanggar mulut kerang raksasa itu.

Dakwa warganet, tentu sejak dari awal lagi kru produksi sudah memasang alat perangkap untuk memerangkap spesies itu.

Tambahan pula, produksi hanya merakam saat dia mengambil kerang tersebut dan naik ke atas darat.

Simpati dengan nasib malang yang menimpa Yeol Eum, masyarakat telah mewujudkan petisyen dalam laman sesawang rasmi Blue House di Seoul, Korea sebagai usaha bagi mendapatkan pembelaan kerajaan untuk pelakon tersebut.

Menyesal tak sudah

Setelah menamatkan latihan ketenteraan, selebriti kontrovesi Choi Seung-hyun aka T.O.P mencuri perhatian apabila kembali aktif dalam media sosial.

Menerusi kemas kini dalam akaun Instagram, anggota kumpulan BigBang ini mengucapkan terima kasih kepada peminat di seluruh dunia dan berjanji akan menjadi seorang insan yang berguna.

T.O.P yang mempunyai 9.3 juta pengikut mengaku tidak berbangga dengan dirinya, sebaliknya meluahkan rasa dia seolah-olah sangat menyesal.

Dia berjanji akan berusaha mengubat luka dan kekecewaan peminat atas kekhilafan yang telah dilakukan.

Sebaik sahaja tugasnya selesai pada 6 Julai lalu, dia mengadakan pertemuan dengan peminat di satu lokasi yang dirahsiakan daripada pengetahuan pihak media.

Penyanyi rap ini juga dikatakan menangis di hadapan peminat kerana tersentuh dengan kesetiaan dan kesanggupan mereka yang menunggunya di luar pejabat Pusat Kraft dan Seni Yongsan di Seoul sejak awal pagi lagi.

Terdahulu, T.O.P memulakan latihan khidmat ketenteraan pada 7 Februari 2017 dan sepatutnya menamatkan tugas pada 8 November 2018.

Namun, disebabkan pelbagai insiden termasuk dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah dan cubaan membunuh diri, latihannya ditangguhkan selama lapan bulan.

Sudah lebih 700 hari bercinta

Pasangan ideal, G.O dan aktres Choi Ye Seul kini menghitung hari untuk membawa hubungan cinta mereka ke alam perkahwinan.

Berita gembira tersebut diumumkan sendiri oleh pasangan sejoli ini menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi, O.Y Couple Story milik mereka.

“Kami sudah menjalin hubungan lebih 700 hari dan sekarang kami akhirnya melihat hasil daripada hubungan ini,” kata mereka sambil turut mengucapkan terima kasih kepada peminat.

Menurut G.O, majlis perkahwinan mereka akan berlangsung secara sederhana dan hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat.

Namun mereka akan merakamkan video persiapan hari bahagia itu dan akan dikongsi dengan peminat nanti.

Pada Januari tahun lalu, G.O yang juga ketua kumpulan Mblaq dan kekasihnya pertama kali mengaku kepada umum mereka bercinta dan tinggal sebumbung.