“Kembali saya untuk mempertaruhkan single terbaharu Pernah Bahagia memang menguji hati. Adakala bertanya sendiri, apakah kesudahan nasib saya dengan lagu ini?

“Reaksi yang diterima setelah dilancarkan baru-baru ini ramai yang suka dan menerimanya. Namun ada juga yang memberi respons menyakitkan hati,” akui Sharifah Zarina, penyanyi cantik yang pernah popular dengan lagu Langit Ke Tujuh.

 

Dia bersyukur ke hadrat-Nya dalam ada yang bertanya masih relevankah Sharifah Zarina dengan industri hiburan, Alhamdulillah lagu yang dipromosikan kepada para produser tempatan terpilih sebagai runut bunyi drama Utusan Cinta Buat Adam (untuk slot Akasia TV3).

“Benar, sudah lima tahun saya menyepi dan cuba kembali apabila menyertai Gegar Vaganza 2014. Bagi saya, sesudah pengalaman dalam program tersebut walaupun tak meraih kemenangan bukan penghalang untuk saya terus menyanyi.

“Bila difikirkan semula, mengapa mesti saya melayan mereka yang tak menyenangi? Saya percaya Allah sentiasa memberi ruang dan peluang bila manusia sungguh berusaha dan berdoa,” katanya.

Penyanyi ini berterima kasih apabila ada yang terus sudi memberi semangat agar jangan takut untuk terus melangkah. Dengan sokongan positif itu dia kena terus kuat bekerja. Impian dan harapannya agar lagu Pernah Bahagia mendapat sambutan sehebat Langit Ke Tujuh yang masih disukai ramai walaupun sudah berusia lebih 10 tahun.

Malah, Sharifah Zarina mengaku usaha mempromosi lagu sendiri bukan masalah, malah kemestian bagi yang bergelar penyanyi.

“Saya tak malu nak mengaku, saya menghubungi produser menawarkan lagu saya untuk produksi mereka.

“Bukan masalah kalau saya kena mencari wartawan untuk mendapatkan publisiti. Dalam bidang seni artis tidak boleh berdiam diri tentang usaha terkini. Tak rasa bebanan kalau membantu promosi lagu dan nama sendiri,” katanya.

Ibu tiga orang anak dan isteri penyayang ini berterima kasih kerana keluarga terus ada di belakangnya untuk melihat impiannya tidak sia-sia.

Malah, mereka adalah pencetus semangat untuknya selama ini.