Penyanyi yang popular menerusi lagu Roadblock Hati (kolaborasi bersama Floor 88) ini boleh menarik nafas lega dengan prestasi kerjayanya di negara jiran itu.

Biarpun semakin dikenali namun bekas peserta D’Academy Asia (Musim 3) ini sentiasa mengingatkan diri agar tidak mendabik dada kerana sedar banyak lagi kelemahan yang harus diperbaiki.

“Saya sudah menetap di Jakarta. Syukur, kerjaya semakin baik tetapi saya belum boleh berpuas hati. Banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki untuk mengukuhkan nama di sana.

“Walaupun jadual yang diaturkan pihak pengurusan padat tapi sebulan sekali mesti balik sini atau kalau ada apa-apa projek mereka izinkan saya balik,” katanya yang pulang beraya di tanah air baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai rutin seni, Shima berkata, jika tidak sibuk dengan persembahan pentas, dia akan memenuhi undangan stesen-stesen televisyen untuk program bual bicara.

Disebabkan kerap muncul di kaca televisyen, pihak pengurusan menetapkan syarat agar beratnya tidak boleh melebihi 45 kilogram. Oleh itu, dia terpaksa menjaga diet pemakanan.

“Mereka tegur wajah saya kembang apabila di dalam televisyen. Jadi mereka letakkan syarat, berat saya tak boleh melebihi 45 kilogram.

“Dulu makan nasi empat kali sehari sekarang sekali sehari. Saya rasa kesibukan dan tidak cukup tidur juga menyebabkan badan saya susut.

“Tapi saya ada ambil vitamin untuk mengekalkan tenaga,” tuturnya yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Nagaswara Indonesia.

LIRIK LUCAH

TIDAK hanya tentang berat badan, Shima juga pernah ditegur gara-gara geleknya yang dinilai tidak cukup berahi dan sering mengelak daripada memakai pakaian seksi.

Tidak berniat untuk melawan kata-kata mereka, pendiriannya mudah- imej dangdut bukanlah hanya seksi semata-mata.

“Mereka minta bergelek dengan gaya yang lagi seksi tetapi saya tegas mengatakan setakat itu saja yang saya boleh lakukan.

“Begitu juga dengan pakaian untuk persembahan, ada pereka fesyen yang sediakan. Pernah mereka beri baju yang pada saya terlalu mendedahkan bahagian tubuh sebab itu saya menolak.

“Akibatnya, pereka fesyen itu berkecil hati dan bermasam muka dengan saya, tetapi saya tidak peduli perkara itu dan tetap berpegang pada pendirian,” ceritanya lagi.

Shima juga mendedahkan dia pernah menolak tawaran bekerjasama dengan komposer Indonesia yang mencipta lagu fenomena Lagi Syantik iaitu Yogi RPH disebabkan lagu ciptaan komposer tersebut menyelitkan lirik berunsur lucah.

“Ketika baca lirik itu, saya pelik dan tertanya-tanya apa yang cuba dimaksudkan dengan ayat ‘ularnya besar sekali’. Firasat saya kuat mengatakan ada unsur lucah.

“Tetapi untuk dapatkan kepastian saya bertanya dan komposer itu mengiyakannya. Jadi saya terus tolak secara baik. Mujurlah dia memahami,” ujarnya.

Masih seronok meraikan Aidilfitri di sini bersama keluarga, Shima akan merakamkan sebuah lagu duet bersama Pasha (Ungu) sebaik sahaja pulang ke sana.