Namun, dek kerana sikap keterbukaannya dan lantang berbicara menyebabkan ramai yang mungkin ‘makan hati’ atau takut untuk mendekatinya.

“Inilah saya kerana saya tidak jual benda lain tapi saya jual jenama Sharifah Amani. Saya tidak bersikap hipokrit. Orang kata saya sangat terbuka atau bersuara lantang, I cannot help for being who I am.

 

“Saya tiada pesona lain, jadi disebabkan itu saya tidak ada akaun Twitter atau Instagram peribadi lain untuk kutuk orang.

“Ini kerana saya anak Syed Zainal Rashid Al-Yahya dan Fatimah Abu Bakar. Jadi apabila saya buat perkara buruk atau salah, saya akan memalukan ibu bapa. Namun menjadi orang lain apabila terlibat dalam filem atau teater, itu adalah kerja saya.

“Tetapi, apabila saya di luar waktu kerja atau lakonan, inilah saya,” ujar Amani yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-19 bagi watak Orked dalam filem Gubra.

Tambah Amani yang baru sahaja pulang dari Itali sempena tayangan perdana peringkat antarabangsa filem Motif di sana, dia tidak mahu melayan perkara yang tular kini.

“Malah, perkataan warganet sendiri saya tidak suka kerana ia dilihat memberikan mereka kuasa untuk menentukan apa yang popular atau tidak sedangkan mereka di luar sana harus nampak ada benda lain yang lebih berfaedah selain daripada video-video tular.

“Pada saya, apabila seseorang pelakon bersuara lantang, itu adalah tanggungjawab sebagai wakil untuk menyuarakan yang sepatutnya kerana kita harus fikir apa yang boleh diberi kepada masyarakat dan mendidik mereka,” kata Amani yang pernah mencipta kontroversi apabila mencukur kepalanya dalam filem Mualaf.

Memasuki usia 30-an, sudah pasti perkahwinan menjadi tanda soal buat pelakon ini.

“Apa yang boleh saya katakan tentang jodoh adalah, Alhamdulillah saya bersyukur kerana makcik-makcik saya di kampung bersikap lebih ‘terdidik’. Namun mereka tetap hendak bertanya, nak tahu perkembangan,” katanya.

Bagi Amani, ‘kiblat’ wanita sekarang bukan memikirkan tentang kahwin semata-mata dalam minda mereka.

Katanya, wanita sekarang lebih berdikari kerana ada kerjaya sendiri, mampu untuk ada harta sendiri seperti rumah dan bergerak ke mana-mana sahaja. Jadi, tidak perlu fikir untuk ada seseorang bagi menyokong, namun apabila sudah jatuh cinta, seseorang itu akan tahu sendiri indahnya perasaan itu.

“Namun jangan salah faham kerana saya bukanlah menolak lelaki kerana hati saya tetap terbuka untuk menerima cinta dalam hidup. Cuma kriteria lelaki tu kenalah ‘fit’ dengan apa yang saya mahukan.

“Lelaki itu harus ada sifat kelakar, kena tahu dan cintakan seni dan paling penting dia boleh ‘masuk’ dengan keluarga dan kawan-kawan saya.

“Ikatan kekeluargaan saya dan ahli keluarga yang lain sangat kuat, kerana itu bukan senang untuk orang luar ‘masuk’ ke dalamnya. Ibu bapa besarkan saya dengan penuh teliti, jadi kenapa saya nak kena bagi ‘diskaun’?” ujar Amani.