Dari awal persembahan sehingga ke lagu terakhirnya, konsert yang boleh dianggap sebagai ‘perhimpunan’ para peminatnya menyaksikan persembahan bertenaga Siti Nurhaliza dengan momentum yang sangat luar biasa.

Lantunan vokal yang tidak perlu dipertikaikan lagi serta aksi hebat di pentas sebenarnya menunjukkan beliau terus ‘berlari’ jauh meninggalkan penyanyi lain.

Bukan itu sahaja, ‘kehebatan’ peminat Siti Nurhaliza juga meletakkan beliau tetap berada di kelasnya tersendiri.

Pada konsert tersebut, Siti Nurhaliza menyatakan rasa terharu apabila peminat yang datang membeli tiket bukan sahaja dari Malaysia malah ada yang datang dari Indonesia, Brunei, Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Mekah. Hebat bukan?

Hakikat yang perlu diterima juga, kesanggupan serta keyakinan penganjur iaitu Shiraz Project yang menaja konsert jelajah di Indonesia, Singapura dan Malaysia membuktikan artis tempatan masih menjadi pilihan. Di kala ramai penyanyi merungut kerana sukar mendapatkan penajaan, Siti Nurhaliza membuktikan dirinya tetap relevan sepanjang lebih 20 tahun dalam industri.

Beliau sudah merakamkan 25 album dengan 250 lagu yang menyukarkan Siti Nurhaliza memilih lagu dalam setiap konsertnya.

SITI NURHALIZA memulakan persembahan denga lagu irama tradisional sebagai menghargai genre muzik ter
SITI NURHALIZA memulakan persembahan denga lagu irama tradisional sebagai menghargai genre muzik tersebut. 

Peminat anugerah terhebat

Kehebatan bakat, sokongan peminat serta penaja membawa tanda aras yang penghibur ini tetap memegang tampuk sebagai penyanyi unggul negara.

Beliau yang pernah mengadakan konsert pertama di stadium sama ketika berusia 19 tahun menyatakan sudah melakukan banyak perkara sebagai gimik dalam konsert-konsert sebelum ini.

“Hari ini, walaupun stadium sudah bertukar nama, saya masih Siti Nurhaliza yang sama. Mungkin yang berbeza hanya saiz sahaja,” katanya sambil tergelak sewaktu menceritakan pengalaman konsertnya dahulu.

“Rasa aura 20 tahun lalu kembali apabila kali pertama mengadakan konsert di sini pada 1999. Kenangan itu paling manis buat saya apatah lagi saya baru berusia 19 tahun ketika itu.

“Dalam konsert sebelum ini, macam-macam saya sudah buat. Antaranya pernah menjadi robot, ahli silap mata, pemuzik, ahli gimnastik, buat kawad senyap, terbang dari atas dan banyak lagi. Pendek kata, semua saya sudah buat,” jelas Siti Nurhaliza yang terharu dengan sokongan peminat yang tidak jemu-jemu datang ke konsertnya dan sanggup mengumpul duit untuk membeli tiket.

“Konsert ini juga saya anggap reunion buat Sitizoners (kelab peminat Siti Nurhaliza). Mereka adalah anugerah terhebat buat saya sepanjang berada dalam industri. Tidak kiralah dari mana mereka datang, macam mana mereka datang dan apa sahaja pengorbanan mereka, saya sangat hargai.

“Sebelum naik ke pentas, saya sudah mahu menangis kerana tersentuh dengan sambutan yang diberikan. Saya cakap kepada tim konsert, saya tidak boleh menangis sekarang sebab nanti tidak boleh nyanyi sampai habis,” kata Siti Nurhaliza dengan nada sebak.

Beliau mempersembahkan lebih 30 buah lagu dalam tempoh dua jam yang hampir kesemuanya dinyanyikan bersama-sama para peminat setianya.

SITI NURHALIZA

Tribute buat Pak Ngah

Siti Nurhaliza akui setiap lagu yang disampaikannya mempunyai kenangan dan memori manis di sebaliknya. Ini termasuk kenangannya bersama komposer lagu tradisional dan etnik kreatif terkenal iaitu Allahyarham Datuk Suhaimi Mat Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Untuk itu, Siti Nurhaliza yang memperjuangkan irama tradisional membuka tirai persembahan dengan tayangan video mengenai sejarah dirinya melalui seni wayang kulit. Kemudian beliau menyampaikan lagu-lagu tradisional seperti Badarsila, Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sampai, Nirmala, Balqis, Hati Kama dan Cindai.

Lagu-lagu tersebut sebagai tribute mengenang jasa Pak Ngah yang sebelum ini mengharumkan namanya menerusi banyak lagu irama Malaysia.

“Memang sudah menjadi impian saya. Dalam kebanyakan konsert yang saya terlibat pasti akan dimasukkan lagu-lagu tradisional yang menjadi akar budaya kita. Kerana itu dalam konsert di Indonesia, Singapura dan Malaysia baru-baru ini, saya tetap menjadikan irama tradisional sebagai pembuka tirai,” katanya yang mahu anak-anak muda terus mencintai irama tradisional Melayu sebagai warisan bangsa.

Selain lagu-lagu tradisional, beliau turut menyampaikan lagu-lagu popularnya yang lain seperti Jawapan Di Persimpangan, Jerat Percintaan, Bisakah, Bila Harus Memilih, Demi Kasih Sayang, Pastikan dan Destinasi Cinta.

Selain itu, lagu Anta Permana, Percayalah, Aku Cinta Padamu, Bersandar Pada Cinta, Engkau Bagaikan Permata dan banyak lagi antara lagu yang turut membuatkan peminat menari.

Siti Nurhaliza juga turut memenuhi permintaan peminat dengan menyanyikan dua lagu tanpa muzik iaitu Seribu Kemanisan dan Kurniaan Dalam Samaran.

Antara artis yang turut hadir menyaksikan konsert itu adalah Khai Bahar, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Siti Sarah Raisuddin serta suaminya Shuib, Ernie Zakri, Fara Fauzana dan Siti Elizad.

SITI NURHALIZA dan suami mahu mendedahkan Aafiyah dengan didikan agama.
SITI NURHALIZA dan suami mahu mendedahkan Aafiyah dengan didikan agama.

Tidak galak Aafiyah jadi penyanyi

Hebatnya seorang yang bernama Siti Nurhaliza ini apabila keesokan harinya beliau mengadakan majlis hari lahir Aafiyah yang genap berusia satu tahun. Tidak kenal erti penat, sambutan tersebut dibuat sedikit awal bagi disesuaikan pada hujung minggu.

Mengenai masa depan si kecil itu, Siti Nurhaliza menjelaskan, beliau dan suami lebih selesa mendedahkan Aafiyah dengan didikan agama semenjak kecil.

“Sejujurnya kalau boleh saya tak galakkan Aafiyah jadi penyanyi. Kalau boleh saya dan suami mahu titikberatkan ilmu agama dari kecil. Lagi pun sudah banyak sekolah yang memberi didikan agama dari peringkat awal.

“Namun, jika Aafiyah menunjukkan minat dalam nyanyian atau muzik, bergantunglah kepada keadaan. Saya sebagai ibu sudah tentu akan menjadi penasihat yang baik kepada anak dalam apa jua yang dilakukannya.

“Lagi pun kalau kita lihat, jarang anak kepada mana-mana penyanyi terkenal menjadi penyanyi popular seperti ibu atau ayahnya,” kata Siti Nurhaliza.

“Berkenaan sambutan hari kelahiran Aafiyah dua hari lebih awal kerana Aafiyah genap berusia setahun pada 19 Mac 2019 yang jatuh pada hari kerja. Jadi suami bersetuju untuk meraikannya lebih awal,” katanya.

Selain suami dan ahli keluarga yang lain, rakan-rakan artis turut hadir bersama anak-anak mereka iaitu Rozita Che Wan, Amyra Rosli, Fouziah Gous, Fizo Omar, Liza Hanim dan Jihan Muse.

Royal Albert Hall

Siti Nurhaliza juga mengesahkan pengumuman persembahannya di Royal Albert Hall, London yang dirancang pada 22 April ini belum ada kata muktamad daripada penganjur. Beliau masih menunggu kata putus daripada Shiraz Project iaitu penganjur Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019.

Sebelum ini, London disenaraikan sebagai lokasi keempat Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 selepas Jakarta, Indonesia, Singapura dan Kuala Lumpur.

“Kalau tidak buat bulan depan sekalipun, kita boleh teruskan pada bulan lain. Jika tidak di Royal Albert Hall, mungkin ada lokasi lain yang sesuai. Tengok rezeki mana sampai dulu.

“Kalau ada peluang pergi ke ibu kota lain selain London, kami juga teringin mengintai peluang di tempat lain,” katanya pada majlis sambutan hari lahir pertama anaknya, Siti Aafiyah Khalid di Royale Chulan, Kuala Lumpur.