Namun, dia bersikap selektif dalam memilih skrip dan tawaran berlakon. Itu membuatkan pelakon filem Gila Baby ini terus menjadi buruan ramai pengarah hebat.

Usah dipertikaikan lagi cara pembawaan wataknya dalam setiap lakonan yang dijayakan, pasti pujian setinggi gunung akan dilemparkan kepada lelaki berusia 39 tahun ini.

 

Menurut Beto, pengalaman sebenar juga mampu menjadi pendukung utama dalam menghidupkan watak yang dimainkan.

“Saya secara spesifik tidak mengimpikan sesuatu watak atau sebagainya kerana bagi saya apa yang penting adalah penceritaan dalam naskhah itu sampai kepada penonton.

“Sudah tentu skrip yang bagus akan memberi kesan yang baik kepada watak. Seperti juga watak Amrin yang saya lakonkan dalam telefilem Sesekali yang akan ditayangkan pada malam ini.

“Secara realitinya berlaku beberapa tragedi dalam hidup saya seperti kehilangan kawan dan kakak ipar kerana kemalangan. Lantas ia mengingatkan secara tidak langsung dari sudut emosi yang mana kita boleh sesuaikan keadaan dengan skrip,” kongsinya.

Berkongsi lakonannya dalam telefilem Sesekali yang disiarkan di TV2 pada pukul 9.30 malam sempena sambutan Hari Bapa, jelas Beto, dia yang memegang karakter seorang ayah terpaksa menjaga anak perempuan seorang diri selepas kehilangan isteri.

Apa yang menarik dalam drama arahan Hisyamudin Ahmad ini adalah terdapat babak yang memerlukan dia memakai kostum yang membangkitkan kenangan sewaktu dia menyarung kostum maskot kegemaran kanak-kanak dalam program Along pada tahun 2000.

“Waktu penggambaran Sesekali, ada yang risau kalau saya kepanasan ketika memakai kostum itu. Tetapi saya tidak anggap itu satu yang mencabar sebab saya anggap ia imbauan kenangan silam.

“Seronok dapat sarung kostum sebab saya rasa ada satu kuasa bila memakainya dan automatik saya akan jadi karakter itu.

“Saya anggap cabaran itu asam garam yang perlu setiap pelakon tempuh ketika penggambaran. Dari situ kita dapat belajar apa yang kurang,” katanya yang akan masuk ke set penggambaran awal Julai ini untuk filem Anak Rimau.

Selain Beto, drama Sesekali turut dijayakan oleh barisan pelakon Azhan Rani, Noorkhiriah, Puteri Rafasya, Shazman Isaac. Hariry Jalil dan Norasmahani Shaari.