Dimulakan dengan ucapan khas daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir, majlis diteruskan dengan acara persembahan dan menjamu selera.

Lebih bermakna, Simfoni Aidilfitri turut menerima kehadiran barisan artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Syafiq Farhain, Wany Hasrita, Siti Sarah, Nabila Razali, Zaiton Sameon, Anne Abdullah, Haiza, kumpulan Floor 88 dan ramai lagi.

Malah, artis ini mengambil kesempatan mendendangkan lagu popular untuk meraikan kakitangan sebuah syarikat yang banyak berkongsi suka duka perjalanan karier mereka sebagai anak seni. Siti Nurhaliza misalnya, selain menyampaikan Nazam Lebaran, turut tidak melepaskan peluang meninjau gerai-gerai yang ada di dalam dewan. Zaiton Sameon juga tidak lokek melontarkan suara emasnya bersama pasangan Syed Wafa.

Simfoni Aidilfitri Utusan bertambah meriah apabila artis muda seperti Wany Hasrita, Nabila Razali, Haiza, Siti Sarah, Sheryl Shazwanie dan Muna Shahirah tampil menyanyi di pentas utama.

Artis hargai jasa Utusan

UTUSAN adalah satu nama besar yang mengetengahkan nama-mana hebat dalam bidang seni, sekali gus menaikkan nama mereka ke peringkat tertinggi.

Malah, penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza sendiri mengakui yang Utusan dianggap sebagai keluarga keduanya.

Sepanjang karier lebih 20 tahun dalam industri muzik, menerusi akhbar dan majalah terbitan Kumpulan Utusan, beliau mendapat sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi.

“Apabila Utusan menjemput saya ke majlis rumah terbuka, saya tidak pernah ketinggalan untuk hadir, setiap tahun, Utusan sangat dekat di hati saya.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan media dari syarikat ini yang tidak pernah jemu-jemu memberi liputan kepada saya sepanjang menjadi artis. Justeru, Utusan amat istimewa dalam hati saya,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarah juga terharu dan gembira apabila menerima jemputan majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan.

Sarah yang hadir di dalam persalinan serba merah jambu memberitahu akhbar Utusan Malaysia adalah satu nama besar yang mempunyai banyak sejarah dalam menaikkan nama-nama anak seni tanah air.

“Ini tanda sokongan dan penghargaan terhadap jasa Utusan di dalam perjalanan karier saya.

“Semoga akhbar Utusan terus bertahan dan memberikan lebih manfaat,” ujar isteri pelawak Shuib ini.

Artis muda seperti Wany Hasrita dan Nabila Razali juga menganggap Syawal mereka lebih lengkap dengan memenuhi jemputan ke majlis hari raya di kumpulan Utusan.

Apalah erti sebuah majlis andai tiada pertandingan gerai paling cantik.

Apa yang anda perlu tahu adalah setiap gerai makanan yang ada dari setiap jabatan, saling berlumba-lumba menghias gerai dengan cantik.

Antara gerai yang menarik perhatian adalah gerai Jabatan Pemasaran (Bangi), gerai Jabatan Tintarona dan juga gerai Jabatan Mediamony.

Dan keputusan pertandingan gerai paling cantik dan kreatif dimenangi oleh Jabatan Pemasaran (Bangi) yang membawa tema desa/kampung. Gerai Media House Entertainment (MHE) menyediakan juadah manis-manisan turut mendapat perhatian pengunjung, termasuk artis.