Di mata umum, dia cukup dipandang tinggi. Kejayaan yang dilukis kemas dalam kanvas hidupnya menjadikan dia berdiri ampuh di atas kaki sendiri.

Namun soalan mula menyelinap memasuki ruang peribadi hatinya. Di kala usia bertapak pada angka 30 tahun ini, bila wanita besi ini mahu menamatkan zaman bujangnya?

Apatah lagi, kisah bunga-bunga cintanya yang pernah gugur beberapa kali menjadi buah mulut peminat yang ternanti-nanti siapa gerangan bakal suaminya kepada pemilik nama Noor Neelofa Mohd. Noor ini.

Menjeling manja seraya menghadiahkan senyuman manis, Neelofa berkata, dia tidak mahu terburu-buru dalam mencari lelaki untuk mengisi ruang cinta di dalam hatinya kini.

Bukan menolak atau sudah lelah untuk menerima cinta seorang lelaki, namun kesibukan diri membataskan dirinya berkenalan menyulam rasa cinta.

“Sunyi? Alhamdulillah, tak pernah. Mungkin kerana saya dikelilingi oleh keluarga dan sahabat . Malah, kesibukan kerja juga mungkin penyebab.

"Tanggungjawab saya semakin besar sekarang. Lebih baik saya fokus bina jenama dan diri sendiri untuk 10 tahun akan datang,” katanya.

Barangkali, sudah mula rasa ‘rimas’ apabila soal jodoh acap kali ditanya. Itu anggapan penulis. Namun, mengenali Neelofa, dia seorang yang mudah diajak berborak dan tetap santai walau apa pun soalan.

Namun tidakkah dirinya pernah terfikir, status sebagai mogul seni dan fesyen membuatkan ramai lelaki ketar lutut untuk mendekatinya? Apatah lagi, dilihat sukar untuk didekati.

“Bukan sebab status atau siapa saya. Namun, mungkin kerana saya jarang berada di tempat awam, maka ada beranggapan saya sukar didekati. Saya juga sibuk mengembara mencari ilmu," katanya.

TUTUP DIARI SENI?

Kesibukan dan komitmen Neelofa terhadap dunia perniagaan membuatkan soalan terarah pernahkah dia terfikir untuk meletak titik noktah dalam diari seninya?

Masakan tidak, untuk melihat wajah Neelofa di layar kaca atau perak agak sukar sekali. Dia seperti menjaga nilai eksklusif.

“Memang diakui, peminat hanya melihat saya di rancangan MeleTop dan beberapa projek drama. Saya terpaksa kurangkan aktiviti seni untuk beri fokus perniagaan.

“Tapi itu tidak bererti saya akan berhenti. Memang pernah rasa putus asa di awal karier namun, itu cerita lama. Semangat saya bukan seperti dahulu. Saya akan terus bergelar anak seni,” katanya.

Tidak pernah terfikir untuk berada di kedudukannya sekarang, Neelofa merasakan apa yang dikecapi kini adalah mustahil

“Semua bergantung kepada kesabaran dan ketekunan. Mungkin nampak mudah di mata orang, namun kaki yang melangkah sahaja tahu penat dan lelahnya," katanya.

MEMBINA EMPAYAR

TATKALA soalan terarah ke perancangannya membina empayar perniagaan, mata Neelofa segera bersinar. Dia seperti mahu melepaskan rahsia yang sudah lama disimpan rapi dalam diri.

“Memang untuk tahun 2019, perancangan penjenamaan Naelofar Hijab berwajah baharu akan lebih besar. Saya mempunyai pasukan kerja yang berkongsi misi dan visi yang sama.

“Selepas ini, jenama itu akan dilihat sebagai satu hub fesyen bertaraf antarabangsa. Lebih-lebih lagi, sekarang saya menguruskan sendiri.

“Tanggungjawab lebih besar dan kerja juga bertambah. Mahu tak mahu, ini adalah impian besar saya dan kena kerja lebih kuat untuk merealisasikannya,” katanya.

Dia menarik nafas perlahan tatkala soalan terarah kepada bagaimana di usia muda mengemudi bahtera perniagaannya. Bukan satu tugas mudah apatah lagi, punya tanggungjawab besar lain.

Mengakui pernah sahaja terdetik di hatinya untuk berputus asa, dia segera bulatkan semangat dan buang jauh sikap negatif itu. Digantikan perasaan penat itu dengan kekuatan untuk terus melangkah.

“Saya tak pernah rasa lelah sebelum ini namun, untuk beberapa bulan kebelakangan ini perasaan putus asa memeluk jiwa. Apa yang saya lalui terlalu sukar, tapi itu semua proses belajar.

“Banyak saya belajar daripada mengembara ke seluruh dunia dan juga menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah AirAsia. Ilmu itu saya kumpul dan gunakan untuk mengemudi jenama,” katanya.

Diajukan soalan, apakah pembaharuan dan penjenamaan yang bakal dilakukan, anak kelahiran Kelantan ini bakal membuka satu gedung fesyen yang menempatkan bukan sahaja hijab, namun satu hub fesyen untuk semua.

“Saya akan membuka satu hub fesyen yang menempatkan tidak hanya hijab, namun pakaian, beg tangan dan pelbagai lagi. Lokasi masih belum boleh diberitahu, tunggu okey,” katanya.