Bercakap mengenai soal ini, bagi Shukri Yahaya sebagai seorang pelakon profesional dia lebih senang untuk membezakan hal kerja dan soal peribadi sejak dahulu lagi.

“Bila saya keluar rumah untuk bekerja, niat saya hanya untuk bekerja. Cinta saya hanya untuk anak dan isteri di rumah.

Shukri Yahya

“Jujurnya saya tidak pernah mengalami pengalaman cinta lokasi. Mungkin dengan rakan pelakon yang saya bekerja mempunyai pandangan yang sama,” katanya.

Sementara itu ditanya sama ada dia dikawal isteri, Shukri, 31, hanya ketawa.

Jelasnya kepercayaan adalah kunci utama dalam hubungan rumah tangganya.

“Saya bekerja di luar dan isteri di rumah. Jadi dalam keadaan itu hanya saya yang boleh mengawal diri.

“Selalunya selepas menghabiskan babak, saya tidak akan melepak dengan rakan pelakon. Selepas habis kerja pula saya lebih senang pulang ke rumah sahaja,” kongsinya.

Dengan kemunculan ramai pelakon baru mungkin ada yang melihat ini adalah salah satu saingan buat pelakon lama seperti Shukri.

Namun bagi pelakon ini yang mula dikenali melalui drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia (2015), dia yakin dengan rezeki yang sudah ditentukan untuknya dan keluarga.

“Saya tidak melihat ini sebagai saingan, bagi saya ini adalah sesuatu yang baik untuk industri kita menerima lebih ramai kemunculan bakat baru.

“Saya percaya dengan rezeki yang sudah ditentukan. Cuma sebagai pelakon saya sendiri yang harus menjaga kualiti pekerjaan dalam memastikan dapat menghasilkan lakonan yang baik untuk penonton,” katanya.

Pelakon ini baru saja mendapat khabar duka apabila isterinya keguguran. Kata Shukri, selepas menimang cahaya mata pertama mereka Aaira Ameena tiga tahun lalu, memang dia dan Tya sudah bersedia untuk menerima ahli keluarga baharu.

Apa pun dia reda dengan apa yang terjadi dan berharap agar doanya untuk menimang anak lelaki selepas ini dimakbulkan.

“Kami tahu mengenai kandungan itu Mac lalu. Bagaimanapun isteri mengadu sakit perut dan bila buat pemeriksaan, doktor memberitahu isteri saya keguguran. Ikutkan rasa memang sedih tetapi saya reda dan pastinya kami akan terus mencuba,”
kongsinya.