Ingatlah, apa yang kita beri pasti kita akan mendapat balasan, sama ada baik dan buruk bergantung pada apa yang kita beri kepada orang. Jika kita beri baik insya-Allah akan mendapat balasan baik begitulah sebaliknya.

Oleh sebab itu untuk kekal hidup positif, perlu kita kekalkan sikap positif dalam minda dan hati kita. Kalau dalam konsep pemikiran ‘Reset minda’ semua tindakan dan tindak balas kita itu berasaskan prinsip, FIKIR – RASA – BUAT – DAPAT (fikir baik, rasa baik dan dapat baik, iaitu baik daripada segi kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kewangan).

Oleh sebab itu untuk membolehkan kita memberikan kebaikan dan kebahagiaan kepada orang lain, kita perlu membahagiakan diri kita sendiri terlebih dahulu, kerana orang yang bahagia sahaja mampu membahagiakan orang.

Persoalannya, kalau kita gembira, dari mana datangnya bahagia itu, dari minda atau dari hati? Gembirakah minda kita jika hati kita kusut dan berserabut. Sebenarnya gembira datang dari hati kita. Oleh sebab itulah betapa perlunya kita ‘celik mata hati’.

Jika kita hanya celikkan ‘mata akal’, ‘mata fizikal’, ‘mata nafsu’ tetapi kita tidak mencelikkan ‘mata hati’ untuk mengenal Allah Yang Maha Berkuasa semesta alam ini, kita akan menjadi angkuh dan hidup dalam kesedaran keegoan yang tinggi. Mulalah menjalar ‘mata nafsu’ dan ‘mata akal’ kita kalau tidak ditimbang dan dicantas dengan ‘mata hati’. Bak kata Raja Ali Haji dalam Gurindam 12 nukilannya;

Apabila terpelihara mata

sedikitlah cita-cita.

Apabila terpelihara telinga/kuping

khabar yang jahat tiadalah damping.

Apabila terpelihara lidah,

nescaya dapat daripadanya faedah.

Maka itu peliharalah pancaindera kita untuk mengekalkan sifat positif.

Namun begitu, untuk mengekalkan sifat positif bukan hanya dengan menggunakan teknik pengawalan minda/fikiran dan hati/emosi semata-mata, tetapi perlu juga dilaksanakan dengan menggunakan kaedah pengawalan pernafasan dan fizikal.

Iaitu menggunakan teknik pernafasan yang betul. Tarik nafas ke dalam, ketenangan akan datang dan lepaskan nafas ke luar, kerisauan akan pergi. Kadang-kadang dalam hidup kita ini, ada hari kita ada masalah dan mengganggu ketenangan kita.

Usah biarkan perasaan negatif itu memerangkap diri kita daripada bertindak positif. Kawallah perasaan negatif itu melalui teknik pernafasan yang betul dan baik.

Caranya apabila kita bernafas, tarik nafas kita dalam-dalam ke perut (bukan ke dada), dan katakan kepada hati kita satu perkataan positif yang kita mahukan dan menjadi sasaran kita, serta diikuti dengan kata-kata negatif yang kita mahu hapuskan dan tidak mahu perasaan itu berada dalam diri kita (minda/fikiran dan hati/emosi).

Contohnya, “saya mesti berani, saya tidak takut” atau “saya sihat, saya tidak sakit” atau “saya kuat, saya tidak lemah”, atau “saya rajin, saya tidak pemalas”. Setiap kali kita lepaskan nafas kita dan diikuti dengan kata-kata negatif yang mahu kita keluarkan daripada diri kita, mestilah diikuti dengan senyuman.

Percayalah apabila kita berasa tenang, aura ketenangan itu akan dapat kita sampaikan kepada orang lain secara semula jadi. Sangat penting kita hidup dengan penuh kesedaran. Bina tenaga kita dengan penuh kesedaran untuk perkara yang baik/positif. Kita perlu tumpukan atau manfaatkan waktu yang kita miliki sekarang.

Janganlah kita asyik memikirkan masa yang telah berlalu dan masa yang belum pasti kita akan lalui. Contohnya kita akan sering terganggu dengan fikiran kita atau bisikan hati kita yang menyalahkan diri kita sendiri, “semalam patutnya saya... .” atau kita membuang masa memikirkan hari yang belum pasti, “nanti minggu depan saya akan ... .”


Menjangkiti

Jom audit diri, pernah atau tidak kita menghadapi situasi yang sia-sia ini? Apabila kita asyik memikirkan masa lampau dan risaukan masa yang akan datang, sebenarnya kita telah menggunakan tenaga, degupan jantung atau nyawa kita yang ada sekarang kepada perkara yang tidak produktif. Sebab dalam hidup kita ini sentiasa ada dua “pencuri”, iaitu penyesalan masa silam dan kebimbangan masa hadapan.

Yang perlu kita lakukan segera, setiap masa kita perbaiki diri kita untuk menjadi “lebih baik daripada semalam”, dan jangan sampai menjadi “semalam lebih baik daripada hari ini”. Ingatlah kita ini sebagai insan memang tidak sempurna. Orang lain nampak kita baik, kerana Allah SWT menutup aib kita. Jadilah orang yang lupakan kebaikan diri kepada orang lain, tetapi sentiasa ingat kesilapan atau kejahatan kepada orang lain.

Cepat mohon maaf kepada sesama insan dan bertaubat kepada Allah. Kerana kita tidak diterima-Nya pada hari akhirat kelak jika kita tidak mendapat kemaafan daripada sesama insan. Jom audit diri kita ada atau tidak kita berbuat kesilapan dengan sesama insan dan sudahkah kita memohon maaf? Jadikan meminta maaf dan memaafkan itu menjadi budaya atau cara hidup kita.

Hanya orang yang berani dan sanggup membuang ego serta tawaduk sahaja yang suka memohon maaf kerana mereka sudah terlepas daripada penyakit rohani. Imam al-Ghazali dalam kitabnya iaitu Ihya Ulumuddin telah menjelaskan beberapa contoh kerosakan nilai dan akhlak yang menjangkiti manusia berpunca daripada penyakit rohani.

Pertama, lemahnya daya kerja. Pekerja yang mengidap penyakit ini terserlah kemunduran prestasinya, sama ada daripada segi pemikirannya mahupun penampilannya. Mereka hilang ghairah untuk maju, sentiasa bersifat lemah, mengantuk, malas dan hilang tumpuan dalam bekerja.

Kedua, tumpulnya daya berfikir. Diresapi oleh gejala kebodohan dan kelemahan dalam berfikir, tidak terbuka sehingga susah menerima kebenaran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah mereka mahu berjalan di muka bumi, supaya ada bagi mereka, hati yang mereka boleh mengerti dengannya, atau telinga yang boleh mendengar dengannya. Sesungguhnya bukan penglihatan yang buta tetapi hati mereka yang ada dalam dada itulah yang buta”. (Surah al-Haj: 46)

Ketiga, dangkal rasa. orang yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah SWT menjadi pemboros serta membazir apabila berbelanja. Bukan itu sahaja mereka mudah menyalahgunakan kepercayaan dan kemudahan yang diberikan.

Mereka adalah pekerja yang tidak mengenang budi dan dangkal rasa. Keempat, gelisah dan keluh kesah, bermasalah dan pemarah terutama apabila gagal mengatasi tekanan ketika bekerja. Mereka ini sebenarnya telah dicabut ketenangan dalam hatinya sehingga merosak kestabilan mental dan fizikalnya.

Kelima, ego dan sombong. Orang yang rohaninya sakit mudah dipandu oleh emosi dan nafsu tanpa mahu mendengar sebarang penjelasan, teguran dan nasihat yang baik. Keenam, berprasangka buruk dan curiga.

Ketujuh, suka menghasut. Mereka yang rosak rohaninya cepat mencari ruang dan mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan serta mempengaruhi orang lain kepada benci membenci dan hasad dengki. Mereka suka melihat orang lain jatuh dan menimbulkan kebencian yang akhirnya meruntuhkan organisasi itu sendiri.

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.