Tanpa berfikir panjang, dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah ketika berada dalam tingkatan lima. Dalam fikirannya dia perlu ke Kuala Lumpur dan mahu menggapai impian bergelar pemain bola sepak terkenal memandangkan dia amat meminati sukan tersebut.

“Masuk sahaja tingkatan empat saya rasa tak boleh teruskan persekolahan kerana perasaan membuak-buak untuk main bola sahaja. Dulu semasa di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Slim River, Perak saya selalu menjadi wakil sekolah untuk sukan bola sepak.

“Saya bermain untuk sekolah-sekolah Negeri Perak. Hampir kesemua pertandingan yang disertai akan mendapat tempat pertama. Jadi dari situlah saya memasang angan-angan untuk bergelar pemain bola,” tutur pelawak terkenal era 80-an yang berasal dari Parit Buntar, Perak ini.

Bagi merealisasikan cita-citanya ketika itu, dia meminta kebenaran ayah dan ibunya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Tinggi harapannya ingin menjadi terkenal seperti lagenda pemain bola sepak ketika itu, Mokhtar Dahari.

“Biarpun mak dan ayah menghalang namun saya tetap berdegil. Dengan berbekalkan duit sebanyak RM 15, sepasang but bola sepak dan sedikit baju, saya mengayuh basikal menuju ke Kuala Lumpur.

“Bayangkanlah ketika tahun 1972, tiada lebuh raya lagi. Jadi perjalanan saya sambil mengayuh basikal mengambil masa selama sembilan hari. Dari Parit Buntar saya berhenti di Taiping selama satu hari kemudian sampai di Kuala Kangsar berhenti lagi hinggalah sampai ke Kuala Lumpur.

“Sepanjang perjalanan, tiap kali tibanya waktu malam, saya akan mencari tempat letak bas sekolah dan tidur di dalam bas hingga menjelang pagi.

“Tepat pukul lima pagi saya akan bangun, cuci muka, makan roti canai di mana-mana warung yang ada dan sambung semula perjalanan ke Kuala Lumpur. Pernah juga tayar basikal bocor dan macam-macam masalah lagi namun semuanya dapat saya atasi,” tutur pelawak berusia 61 tahun ini lagi.

Tambahnya lagi, setelah tiba, dia terus pergi mencari rakan-rakan sekampung yang terlebih dahulu berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menumpang berteduh di rumah sewa mereka.

“Masa tu tak dapat dibayangkan perasaan gembira yang amat sangat apabila tiba. Saya masih ingat lagi, waktu tu saya menyewa di Old Town, Petaling Jaya.

“Sampai sahaja di sini, macam-macam kerja saya buat untuk menampung hidup. Dari kerja kilang dan akhirnya saya bekerja di Kentucky Fried Chicken (KFC). Kerja dengan KFC, saya rasa bertuah apabila terpilih mewakili syarikat untuk pertandingan bola sepak,” ceritanya.

Masa tu arena bola sepak tengah berkembang. Pertama kali turun berlatih di padang, Accappan cukup teruja apabila dapat melihat pemain hebat seperti Mokhtar Dahari, R. Arumugam dan ramai lagi.

Bertahun-tahun bermain bola untuk KFC, akhirnya Acappan berjaya masuk ke kumpulan Selangor B. Ketika itu kumpulan Selangor merupakan kumpulan yang agak hebat.

Terasa seperti terjaga dari mimpi. Waktu itu, dia tak pernah lelah mencuba sedaya upaya untuk menempatkan diri ke dalam kumpulan A tetapi memandangkan kumpulan A terdiri daripada pemain yang cukup hebat maka dia masih tidak layak untuk berada di dalam kumpulan tersebut.

“Ketika bermain bola untuk Ikatan Belia Utama. Saya ditawarkan bekerja dengan Kementerian Kewangan. Waktu itu, bos saya yang saya kenali sebagai abang Aziz Ibrahim rupa-rupanya seorang pelakon. Dia banyak buat pementasan drama dan televisyen ketika itu,

Bersama dengan dialah saya mula berjinak dalam lakonan,” ujarnya yang ketika itu akur untuk melupakan impiannya untuk bergelar pemain bola sepak.

Dari pemain bola ke pelawak

Dalam perlahan-lahan mengundurkan diri dari sukan bola sepak, secara tak sengaja penerbit Aziz Ibrahim sedang giat mencari pelakon untuk Festival Filem Malaysia yang berlangsung di Banting, Selangor. Nak dijadikan cerita, dia mempelawa Accapan untuk berlakon.

“Atas dorongan rakan-rakan sekerja. Saya mencuba nasib. Tak sangka nama saya tersenarai, dan yang paling mengejutkan saya mampu hafal skrip yang tebal tu dalam masa beberapa hari sahaja.

“Ingat lagi, dalam pertandingan festival tu, wakil-wakil pelakon dari setiap negeri diberi tugasan untuk berlakon menjual makanan. Setiap kali kereta api berhenti kami akan menjual makanan pada penumpang.

“Nasib menyebelahi tim kami dari Selangor, jadi juara, saya dan setiap ahli kumpulan dibayar RM 500 seorang. Masa tu jumlah tu agak besar juga. Syukur sangat waktu itu,” tuturnya lagi.

Selepas bergelar juara, dia tidak menyangka tawaran berlakon datang mencurah-curah.

“Lepas tiga bulan, saya dapat lagi panggilan tawaran berlakon. Saya di tawarkan berlakon drama drama televisyen pula.

“Saya terperanjat sangat sebab dapat berlakon tv. Itulah mulanya karier saya sebagai pelakon pada tahun 1984. Sitkom Santan Berlada, pengarah bagi tiga helai skrip. Saya rasa ketika itu, tak ada masalah sebab semasa Festival Filem Malaysia tu lagi tebal skripnya.

“Masa tulah saya berkesempatan berjumpa dan berlakon bersama Os, Ali Mamak, Fauziah Nawi, Khairul Azhar. Saya tak kenal mereka sebab saya tak tengok drama Melayu dulu tetapi saya tahu mereka popular,” tuturnya lagi.

Bermula dari sitkom itulah, dia dikenali dengan panggilan Acappan. Nama itu lekat sehingga ke hari ini yang mana semua orang lebih mengenali nama tersebut berbanding nama asalnya.

“Nama tu berasal dari watak saya sebagai pemandu lori. Dekat lori tu ditulis 'Acappan Anak Lelaki Kupusamy.' Nama itulah saya guna sampai ke hari ini. Berlakon komedi memang seronok. Kami tidak terlalu bergantung pada skrip, semuanya lebih pada spontan.

Memandangkan perjalanan seninya terlalu sibuk dan hampir setiap hari menjalani penggambaran hingga ke pagi, akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

“Saya rasa gembira masa tu dengan pendapatan berlakon komedi, satu episod saya dapat bayaran RM 450. Masa tu jumlah tu dah dikira agak besar.

“Enam bulan bergelar pelakon, saya terus ambil keputusan berhenti kerja. Tak boleh buat apa sebab pagi kena pergi pukul 4.15 pagi. Lepas kerja kena penggambaran lagi jadi saya sangat sibuk.

“Semakin lama berlakon, banyak dapat jemputan untuk buat lawak di seluruh negara. Selalunya saya akan bergerak bersama Trio Santan Berlada. Tapi masa dulu tawaran dahsyat. Satu tahun pernah buat tiga filem.

“Dulu tak ada banyak stesen televisyen. Tiga tahun sitkom Santan Berlada dari 1984 hingga 1987. Selepas itu, sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pula mengambil tempat dan selepas itu berpuluh-puluh drama dan filem saya pernah jayakan,” ujarnya yang membintangi filem Mamak Cup Cake empat tahun lalu.

Sempat berkongsi pengalaman sepanjang bergelar pelawak, Acappan dan rakan-rakannya pernah runsing apabila tidak berjaya membuat penonton gelak ketika berlawak di atas pentas,

“Ada dua segmen masa tu, segmen pertama kami buat lawak semasa vip tengah makan. Masa tu semua vip tak mahu ketawa. Yang ketawa cuma penonton dan pengawal peribadi mereka sahaja.

“Ketika itu, kami rasa macam tak tahu nak buat apa terasa macam buat lawak syok sendiri sahaja. Akhirnya saya dan rakan-rakan sempat bertanya pada salah seorang pengawal peribadi mereka kenapa mereka tak gelak.

“Puas kami korek rahsia akhirnya kami tahu golongan ni sukakan permainan seperti golf, polo, dan cerita zaman seniman P. Ramlee. Masa tu juga kami dapat idea untuk buat lawak tentang hobi mereka.

“Mujurlah mereka ketawa dan kami rasa puas sebab berjaya. Itulah antara cabaran yang pernah saya lalui. Bukan mudah untuk buat orang gelak. Berjaya membuat mereka gelak kami dapat imbuhan sebanyak RM 10, 000.

"Dalam komedi, nombor satu yang paling penting kena cari punch line,” ujar ayah kepada tiga orang anak ini mengakhiri bicara.