Jika dahulu agak keberatan untuk mendedahkan hubungan istimewa mereka, kini tidak lagi. Baik Afieq Shazwan, 22, mahupun Wani Kayrie, 19, dilihat semakin terbuka dalam perkara tersebut.

“Benar, kami berdua kini sedang berkawan rapat. Sekarang ini dalam proses untuk mengenali hati budi,” kata Afieq menjelaskan status hubungannya dengan Wani.

Pelakon drama Elly & Epit ini mengakui dia juga tidak menyangka hatinya boleh bertaut dengan penyanyi lagu Jangan Jangan itu. Semuanya terjadi secara semula jadi tanpa desakan sesiapa.

Penyertaan bersama dalam sebuah pertandingan nyanyian realiti, Big Stage menjadi permulaan kepada hubungan rapat mereka. Bertitik tolak dari situ, masing-masing dilihat sangat selesa setiap kali berdampingan.

Kata-kata semangat dan saling berkongsi masalah menjadikan hubungan yang terjalin semakin mudah. Lebih menjadi mudah apabila kedua-dua keluarga sudah pun mengetahui tentang hubungan berkenaan.

“Persamaan paling ketara antara kami apabila kita berdua membina nama dalam industri nyanyian sejak kecil lagi. Afieq ‘kelahiran’ Idola Kecil terbitan TV3 manakala saya daripada Kamilah Bintang.

“Afieq juga pernah menjadi pengacara untuk pertandingan Bintang Kecil RTM 2009 yang turut disertai saya. Kami memang dah berjumpa sejak kecil hinggalah zaman remaja,” dedah Wani pula.

Kini selepas hampir sedekad mem­buat haluan hidup masing-masing, mereka dipertemukan seterusnya menjalinkan hubungan istimewa. Satu perkara yang tidak diduga sama sekali oleh kedua-duanya.

Hubungan Afieq dan Wani semakin diperkatakan peminat selepas sama-sama berduet menyanyikan semula lagu berjudul Selow pada Januari lalu. Di sinilah permulaan hubungan rapat mereka diketahui ramai walaupun dinafikan pada peringkat awal.

Walaupun bernaung di dalam syarikat rakaman berbeza namun itu bukan menghalang hubungan mereka. Afieq merupakan artis di bawah label FMC Music manakala Wani menyertai Suria Records.

JANGAN LEBIH-LEBIH

MASING-MASING juga sudah bersepakat untuk tidak terlalu mendedahkan hubungan istimewa tersebut di khalayak kerana menyifatkan ia masih awal lagi.

Sementelah kedua-duanya masih menuntut di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam, Selangor, pelajaran tetap menjadi keutamaan. Fokus tidak boleh berubah dalam mengejar segulung ijazah.

Mereka juga tidak boleh bercinta hingga mengabaikan pelajaran. Itu juga pesanan daripada kedua-dua ibu bapa dalam memastikan Afieq dan Wani tidak terlalu hanyut dalam alam percintaan.

“Atas sebab itu, saya tidak mahu terlalu mendedahkan hubungan ini. Saya juga tidak menyembunyikan tentang hubungan ini kerana tidak mahu dikata berahsia.

“Kami perlu memberi perhatian kepada pelajaran. Kejar cita-cita dahulu baharulah bercinta. Tak naklah ‘kosong’ begitu saja,” kata Wani yang turut dipersetujui Afieq.

TAHUN PERTAMA RAYA BERSAMA

Seronok tak dapat beraya bersama dengan Afieq tahun ini?

Wani :Mestilah seronok sebab sekurang-kurangnya saya ada teman istimewa pada tahun ini berbanding tahun lepas. Ada sesuatu yang boleh menceriakan hidup dan menyuntik semangat.

Sampaikan ke luar negara menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama, hebat bukan?

Wani : Janganlah salah sangka, itu adalah percutian tajaan daripada pihak luar ke Taiwan bersama kawan-kawan, Fara Hezel, Aiman Tino, Zynakal. Kami pergi beramai-ramai, bukan berdua tau.

Afieq bagi duit raya tak?

Wani : Tak pun. Dia kata tunggu saya jadi isteri dia, baru dia bagi.

CINTA LAMA SUDAH BERKUBUR

Macam mana respons peminat apabila mendapat tahu Afieq rapat dengan Wani?

Afieq: Rata-ratanya suka kami berkawan rapat. Ada yang bagi restu dan mendoakan yang baik-baik dalam hubungan ini. Tapi ada juga yang tak suka dengan mengata yang macam-macam. Tapi saya okey saja.

Siapa yang tumpang populariti siapa ni dalam konteks hubungan kalian?

Wani : Tak ada sesiapa pun. Kami berdua ada kelompok peminat masing-masing. Cuma yang ketara orang asyik bertanya kepada saya mana Wani kalau keluar di tempat awam sejak kebelakangan ini.

Afieq selesa tak kalau ada orang yang membanding-bandingkan kisah cinta lama?

Wani : Yang lepas itu, lepaslah. Jangan dikenang-kenang lagi. Fokus kita adalah untuk masa depan.