Bahkan anak kelahiran Miri, Sarawak yang gemar berbahasa Melayu ini sentiasa berbangga dengan keunikan budaya Malaysia walau di mana sahaja dia berada.

“Saya tak lupa asal usul. Saya pun tidak tahu macam mana orang boleh lupa asal usul.

“Setiap kali mengembara atau pergi ke serata tempat untuk mengadakan persembahan, saya selalu rasa bangga menjadi anak Malaysia.

“Kita punya kepelbagaian bangsa dan budaya yang unik, maka kita harus berbangga dengan apa yang kita ada,” kata Zee Avi, 32, ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, jika tidak sibuk dia pasti pulang untuk melepaskan rindu pada keluarga, teman-teman dan paling dinantinya peluang menikmati makanan tempatan yang enak.

Cuma barangkali keberadaannya di sini tidak disedari ramai dek sikapnya yang lebih gemar besederhana dan selesa dengan caranya yang seperti orang biasa.

Tidak hanya bertumpu di negara Uncle Sam sahaja, sebaliknya penyanyi yang mengecap populariti menerusi lagu hit Kantoi menganggap dirinya seorang penggembara yang bebas berkongsi karya muzik ke serata pelosok tempat yang dikunjungi.

“Baru saya perasan rupanya sudah setahun saya balik ke sini. Sepatutnya saya balik ke Amerika pada Februari tahun lalu tetapi setiap kali hendak balik, ada sahaja rezeki yang datang.

“Jadi saya terus berada di Malaysia dan dalam tempoh itu saya banyak mengembara dan buat persembahan seperti di Bali, China dan Eropah. Kalau di sini, saya membuat persembahan di Bintulu dan Langkawi.

“Saya dalam kategori indie. Jadi saya bebas untuk buat apa saja perancangan untuk muzik dan karier saya.

“Ibaratnya, saya ikut angin. Kalau angin bertiup di sini, di sini lah saya. Kalau angin bertiup ke sana, saya akan ke sana pula.

“Apa pun saya masih ada komitmen dan karier di Los Angeles. Saya masih bayar cukai dan bayar sewa rumah di sana,” tutur pemilik nama sebenar Izyan Alirahman ini sambil bergurau.

Ilham datang tengah malam

PENYANYI ini berkata, pengalaman mengembara sambil membuat persembahan juga banyak memberi inspirasi kepadanya dalam penghasilan lagu.

Apatah lagi dengan bantuan Internet dan teknologi canggih masa kini, dia tidak perlu menghabiskan masa berjam-jam di studio untuk menyiapkan karya.

Setiap kali mendapat idea, dia akan terus menulis di buku nota atau merakam melodi dalam telefon pintar. Apabila pulang ke rumah, dia segera menyiapkan lagu berkenaan.

Pun begitu, ada ketika dia mendapat ilham pada waktu tengah malam ketika tidur.

“Tahun lepas ketika saya pergi ke Bali dan China, masa itu ilham datang melimpah-ruah. Jadi bila balik, saya hanya duduk di rumah dan menulis. Kadang-kadang sampai berhari-hari tak keluar dari bilik.

“Ada kalanya juga ilham datang di tengah malam semasa tidur. Terpaksa saya bangun dan ambil buku nota dan terus buat lagu sampai siap,” ujarnya sambil ketawa.

Buat lagu ikut rasa sendiri

BAGAIMANAPUN, bintang yang mahir bermain ukulele dan gitar yang dipelajari menerusi internet ini tidak pernah meletakkan sasaran membawa lagu-lagunya sehingga ke pasaran antarabangsa.

Apa yang lebih penting dia cuba menghasilkan karya yang punya kekuatan tersendiri baik dari segi lirik ataupun melodi. Malah, Zee Avi mengaku dia bukan seorang penulis lagu yang suka mengikut aliran semasa.

“Apabila buat lagu, saya tidak pernah ada motif tetapi lebih kepada kepuasan dan berasa seronok. Semua lagu saya ada lain-lain personaliti, ada cerita, aura tersendiri dan saya tidak ikut aliran. Kalau tanya tentang aliran muzik sekarang, saya tidak pandai untuk memberi jawapan.

“Menerusi muzik dan lagu, saya menyampaikan sesuatu yang bukan saja daripada pengalaman sendiri tetapi mungkin orang lain juga pernah mengalaminya.

“Misalnya pernah ada peminat dari Argentina meninggalkan komen dalam laman sosial mengatakan lirik lagu saya seolah-olah sama seperti apa yang dia pernah alami. Saya rasa itulah kuasa muzik,” tuturnya yang dalam dalam perancangan melancarkan dua single berjudul Who Are dan Saya, Kamu.

Dia juga diberi kepercayaan untuk menghasilkan lagu tema siri televisyen The Bridge (yang diadaptasi daripada siri televisyen Amerika Syarikat) selain turut menghasilkan lagu bertajuk Road to Nationhood, yang disiarkan di History Channel.

Menariknya, lagu tersebut menyelitkan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Iban.

Mahu hantaran gitar

DIAJAK bercerita tentang kehidupan peribadi, tanpa berdolak dalik Zee Avi berkata, dia belum mempunyai kekasih. Menegaskan dia bukan cerewet dalam memilih pasangan, tetapi dia mahukan seorang yang benar-benar memahami diri dan kerjayanya sebagai anak seni.

“Saya ini ringkas dan santai saja. Kalau ada calon, lelaki itu tidak perlu belikan saya beg atau kasut mahal tetapi saya hanya mahu dia belikan saya alat muzik. Di rumah saya di Los Angeles penuh dengan alat muzik.

“Kalau ada rezeki kahwin, dulang hantaran nanti semuanya alat muzik seperti pedal gitar dan sebagainya,” katanya sambil tertawa.

Malah kata Zee Avi, dia tidak memilih tetapi lebih suka dengan lelaki yang ringkas yang menerima dirinya seadanya.

“Lelaki itu juga mesti terima makanan saya,” tambah si penggemar ulam-ulaman ini lagi.

Bangga kongi pentas dengan NJWA

SEMENTARA itu, pada 22 Mac depan, Zee Avi bakal mengadakan konsert sempena Hari Wanita Sedunia 2019 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambah istimewa, dia akan berkongsi pentas dengan penyanyi berbakat besar, NJWA. Pada konsert berkonsepkan makan malam itu, masing-masing akan menghiburkan peminat selama 45 minit dia.

“Saya kalau ada peluang, ada rezeki... ditawarkan membuat persembahan di Kuala Lumpur, lagilah saya teruja.

“Ini peluang dan platform yang bagus. Lebih-lebih lagi dapat berkongsi pentas dengan NJWA.

“Saya kenal dia sejak 2009 tapi tak pernah ada kesempatan buat persembahan bersama. Dia seorang penyanyi yang cukup berbakat dan saya bangga kerana kali ini kami berkongsi satu pentas,” katanya.