Biarpun usia pembabitannya dalam bidanglakonan baru setahun jagung namun nyata bakatnya telah diiktiraf.

Bersaing dengan Azwan Kombos untuk filem Nasi Tangas, Ghafir Akhbar (Cuak), Anas Ridzuan (CEO) dan Fadlan Hazim (Sniper)

kejayaan itu secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada Kodi atau nama sebenarnya Mohd. Shazmeer Mohd. Rasheed untuk terus mengetengahkan bakat.

“Jujur dikatakan saya berusaha keras untuk menempatkan diri dalam industri lakonan sejak enam tahun lalu. Saya mahu menjadi pelakon.

“Tapi saya tidak tahu cara yang betul untuk menembusi pasaran sehinggalah saya bertemu dengan cikgu Que Haidar.

“Dia adalah individu yang bertanggungjawab mengesan dan mengasah bakat saya,” kata Kodi yang menyatakan rasa syukur bertemu dengan pelakon yang dipanggilnya cikgu itu.

Kata Kodi, dia sangat bertuah kerana pembabitan sulungnya dalam filem terbitan Elevenfield Sdn. Bhd. dicalonkan pada festival filem itu.

Ini kerana Kodi tidak menjangka rezekinya membintangi filem tersebut membuatkan banyak pihak mula membuka mata terhadap bakatnya.

Bagaimanapun Kodi meluahkan rasa kurang senang andai ada pihak mempertikaikan kemenangannya dalam filem yang menampilkan budaya skinhead itu.

“Alangkah manisnya kalau orang melihat kemenangan saya itu disebabkan kekuatan watak Totoi yang saya bawa dalam filem Ophilia.

“Saya bertuah kerana langkah sulung saya dalam industri mendapat pengiktirafan. Lebih-lebih lagi pada tahun pertama pembabitan saya dalam industri ini.

“Sebab itu saya perlu bekerja keras untuk meyakinkan semua pihak tentang kemampuan lakonan saya,” kata pelakon drama Hantu Wifi dan Coverina ini lagi.

Berkongsi cerita, kata Kodi dia pernah kecewa apabila permohonan untuk menuntut ilmu lakonan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tidak berjaya satu ketika dulu.

Tidak berputus asa, dia kemudiannya mencari peluang untuk menjadi pelakon tambahan dan mengasah bakat lakonannya dengan menyertai teater yang dianjurkan sekitar ibu kota.

Kodi yang pernah menjadi ejen menjual insurans selain berniaga memberitahu, demi minat yang mendalam dalam lakonan, dia turut menyertai kelas tarian yang dianjurkan oleh Linda Jasmine, isteri kepada Que Haidar.

Dan siapa menyangka, pertemuannya dengan Que Haidar di studio berkenaan telah membuka peluang kepadanya untuk melangkah ke bidang lakonan yang diminati dan kini menjadi antara pelakon harapan generasi baharu.

Berkahwin

KEJAYAAN Kodi dalam FFM27 itu bertambah manis apabila dapat berkongsi dengan isteri, Nur Fatihah Mahat, 27, yang baru dikahwini pada 31 Ogos lalu.

Menganggap perkahwinan bukan penghalang untuk terus menempa nama dalam industri lakonan, Kodi berkata, dia sentiasa berpegang kepada prinsip doa, usaha dan tawakal untuk mencapai kejayaan yang diinginkan.

“Mula-mula dulu ada juga risau juga sebab ramai yang cakap bila berkahwin nanti saya sudah tidak laku tapi saya percaya rezeki Allah.

“Yang penting saya bertuah kerana isteri sentiasa menyokong kerjaya saya. Dia tahu minat saya dan tidak pernah berprasangka buruk terhadap karier saya,” katanya yang mengakui tidak pernah merancang soal anak dalam keluarga.