Agak lama berada di bawah bumbung Monkey Bone Records, Shiha kini bebas bergerak sendirian dan mahu belajar berdikari dalam meneruskan usahanya bergelar penyanyi wanita disegani.

Tidak lupa untuk berterima kasih atas segala yang diperoleh bersama syarikat rakaman dan pengurusan artis berkenaan, Shiha yang lahir daripada program Mentor musim kelima itu bersedia mencorakkan kanvas seninya sendiri.

Bagaimanapun, keputusan Shiha membenarkan Arul menguruskan ‘periuk nasinya’ itu sedikit sebanyak mengundang persepsi liar yang melihat seolah-olah penyanyi itu dikongkong lelaki tersebut.

Justeru, Hits segera mendapatkan penjelasan Shiha. Adakah ia benar atau bekas protege kepada Allahyarham Sharifah Aini itu punyai alasan kukuh untuk memperbetulkan tanggapan serong khalayak?

HITS: Selepas beberapa bulan Shiha melakar nama di Indonesia, bagaimana perkembangan terkini Shiha di Malaysia?

SHIHA: Alhamdulillah, kerjaya saya semakin rancak sejak kebelakangan ini. Undangan demi undangan diterima, penat, tetapi itulah rezeki saya dan menerimanya dengan penuh rasa syukur.

Saya pun sedang sibuk promosikan single baharu Seperti Novel Cinta dan sebuah lagi. Dua single sekali gus. Jadi, banyak kerja perlu dibuat bagi memastikan kedua-duanya mendapat tempat di hati peminat Malaysia dan Indonesia.

Kalau dah sibuk macam tu sangat, pastinya Shiha tak menang tangan kan? Selepas menamatkan kontrak bersama syarikat pengurusan sebelum ini, kerjaya Shiha diuruskan teman lelaki, Arul. Adakah Shiha sudah bersedia sepenuhnya untuk bergerak sendiri?

Pengalaman bersama mereka sebelum ini banyak mengajar saya mengenal selok-belok perihal pengurusan. Kini, saya rasa sudah tiba masanya untuk berdikari mencari rezeki sendiri. Sampai bila perlu bergantung harap.

Jadi, untuk permulaan, saya selesa urusan karier nyanyian dibantu oleh Arul kerana dia begitu memahami saya. Sudah enam tahun bersama. Jadi, saya meletakkan kepercayaan penuh kepadanya. Keluarga saya pun bersetuju dan berasa lebih selamat berbanding pengurus lain yang tidak dikenali.

Arul dah jadi pengurus, bermaksud dia perlu sentiasa bersama Shiha. Tak bosan ke nanti? Atau tak rasa dikongkong?

Seperti saya maklumkan, sudah enam tahun kami bersama. Kalau nak berasa bosan, tak perlu tunggu sampai tempoh lama seperti itu. Kami saling mempercayai dan selesa untuk bekerja bersama. Lagipun dia ada kerjaya sendiri, cuma membantu pada hujung minggu sahaja.

Perihal mengongkong itu hanya tanggapan orang sahaja. Saya sendiri langsung tak rasa seperti itu. Jadi, tiada masalah pun, dan tak perlu disemakkan lagi fikiran untuk memikirkan kata-kata luar yang tak membina.

Jadi, sekarang ini bagaimana perjalanan seni Shiha selepas diuruskan Arul?

Setakat ini segalanya berjalan lancar. Saya pun rasa puas apabila dapat menguruskan kerjaya sendiri sambil dibantu Arul. Ada kelainan dalam kepuasan yang dikecapi apabila ia hasil titik peluh sendiri meskipun ia sekadar pencapaian kecil.

Dah ada ke tarikh nikah? Maklumlah, enam tahun bercinta tu bukannya sekejap, pasti sudah saling kenal satu sama lain.

Memang ada difikirkan ke arah itu, tetapi, Arul bersikap fleksibel dan mahu beri peluang kepada saya untuk memperkukuhkan nama dalam bidang ini. Jadi, saya hargai sokongannya dan berusaha lebih keras supaya dapat mencapai matlamat yang diinginkan lebih awal. Lepas itu, barulah boleh difikirkan perancangan seterusnya.

Jadi, saya harap peminat dapat mendoakan agar saya peroleh kejayaan dan hubungan kami ini berterusan ke jenjang pelamin serta bahagia ke akhir hayat.